MOHAMED Azmin. FOTO Danial Saad
Ekhwan Haque Fazlul Haque

KERAJAAN merangka satu pakej rangsangan ekonomi untuk menangani penyebaran wabak koronavirus baharu menerusi Mesyuarat Kedua Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang diadakan di Putrajaya, semalam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, wabak itu secara tidak langsung memberi impak kepada industri pelancongan, peruncitan dan penerbangan.

“Bagi mengatasi masalah itu, kerajaan ambil langkah merangka satu pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak ekonomi akibat kesan wabak ini.

“Antara aspek diberi tumpuan adalah membantu industri menangani isu aliran tunai operasi perniagaan dan memperkenalkan inisiatif baharu bagi menggalakkan perbelanjaan domestik,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, industri pelancongan dalam negara juga boleh membantu negara menjana pendapatan kerana bakal menerima permintaan domestik yang lebih tinggi.

“Kementerian Kewangan mengadakan perbincangan dengan kementerian, agensi dan pihak industri yang terbabit bagi mendapat input dalam perancangan pakej rangsangan ekonomi ini,” katanya.

Katanya, EAC juga membincangkan cadangan pembaharuan dalam pasaran modal tempatan bagi membantu pasaran untuk terus berkembang secara inklusif.

Beliau berkata, EAC bersetuju supaya forum sedia ada diperkemaskan dengan lebih produktif termasuk pihak berkepentingan seperti pengawal selia sekuriti, pihak berkuasa pasaran modal, pemain indsutri dan bank pusat.

Sementara itu, menurutnya, seiring Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan prinsip pembangunan, EAC turut membincangkan cadangan holistik dalam pembangunan dan peningkatan taraf sosio ekonomi Orang Asli.

Mohamed Azmin berkata, isu dibincangkan antaranya pemilikan dan pembangunan tanah adat, akses perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan latihan kemahiran, infrastruktur asas serta ekonomi.

“EAC juga bersetuju pelan tindakan yang lebih khusus dilaksanakan segera untuk menangani isu berkenaan termasuk mendapat kerjasama kerajaan negeri,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 7:30 AM