MOHD KHALID HARUN
Sri Ayu Kartika Amri

PERSATUAN Pelancongan Malaysia (MATA) menyifatkan Malaysia berupaya menangani wabak koronavirus baharu (Covid-19) selepas pernah menempuh wabak selesema burung sebelum ini.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya akan terus mempromosikan Pameran Pelancongan Malaysia (MTF), biarpun berdepan pembatalan lebih 95,000 tempahan hotel di seluruh negara setakat ini.

“Kita tak boleh halang rakyat Malaysia untuk bercuti atau keluar dan masuk ke luar negara kerana masih ada negara lain yang tidak terjejas dengan koronavirus baharu (Covid-19) ini.

“Kita masih boleh bercuti bukan saja di Malaysia, malah negara lain seperti Indonesia, Thailand, Jepun dan Eropah.

“Paling penting masyarakat tidak perlu panik kerana kerajaan telah mengambil langkah pencegahan dan kita perlu mematuhi peraturan kesihatan yang ditetapkan,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pihaknya melalui pameran yang diadakan pada Mac ini akan mempromosikan percutian domestik dan negara Asean lain.

“Kita tidak mahu sektor pelancongan jatuh dan menjejaskan pemain industri terutamanya ahli MATA.

“Sebelum ini juga, kita mempunyai pengalaman menangani wabak selesema burung dan pelbagai lagi, jadi kita sudah matang dengan situasi luar jangkaan seperti ini.

“Persatuan akan berusaha melonjakkan sektor pelancongan untuk membantu ahli dan apa yang kita buat ini bukan untuk mendapat keuntungan semata-mata tetapi bagi merancakkan semula ekonomi negara,” katanya yang berharap usaha kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi mampu membantu industri pelancongan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MHA), Kamaruddin Baharin berkata, pihaknya percaya situasi ini hanyalah sementara dan perniagaan akan kembali seperti biasa.

“Memang benar terdapat pembatalan tempahan hotel dan ia mengakibatkan kerugian kira-kira RM40 juta.

“Bagaimanapun, kami masih mempromosikan Malaysia sebagai destinasi selamat dan sekarang kita perlu tunggu pengumuman kerajaan mengenai pakej rangsangan itu nanti,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 2:44 PM