PENGERUSI Proton, Datuk Seri Syed Faizal Albar (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong (kanan) di majlis pelancaran model X70 2020, semalam. FOTO Owee Ah Chun
Lizam Ridzuan


PROTON Holdings Berhad (Proton) menjangkakan kesan minimum terhadap bekalan stok kenderaan dan alat ganti Proton berikutan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) yang melanda Asia.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Radzaif Mohamed berkata, meskipun ada beberapa pengeluar produk tulen (OEM) di China namun buat masa ini tiada kebimbangan untuk Proton berkaitan kesan itu.

“Kami akan sentiasa memantau keadaan semasa terutama untuk model Proton X70 meskipun kilang di China sudah mula dibuka dan beroperasi,” katanya selepas majlis pelancaran model Proton X70 2020.

Proton X70 2020 dijual pada harga bermula RM94,800 (Standard 2WD), RM106,800 (Executive 2WD), RM119,800 (Premium 2WD), RM122,800 (Premium X 2WD).

Proton X70 2020 adalah model pertama versi pemasangan tempatan (CKD) dipasang di kilang baharu Proton di Tanjung Malim dengan empat varian baharu ditawarkan iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Premium 2WD dan Premium X 2WD.

Ia dilengkapi transmisi baru dwiklac tujuh kelajuan (DCT) menggantikan 6AT sebelum ini dengan talaan enjin baharu 1.8 liter Suntikan Terus Bahan Api Pengecas Turbo (TGDI) menjana lebih lima peratus tork sehingga 300Nm.

Selain itu, untuk varian eksekutif ke atas, ia kini didatangkan dengan pintu but kuasa elektrik yang boleh dibuka dengan sensor kaki, pengudaraan untuk tempat duduk hadapan (premium) dan tempat duduk belakang boleh laras daripada 27 ke 32 darjah untuk semua varian.

Ciri keselamatan aktif dan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (Adas), kamera 360 darjah dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) turut ditawarkan seperti sebelum ini.

Radzaif berkata, pihaknya menyasarkan jualan lebih tinggi untuk X70 2020 berbanding 30,000 unit dicatatkan tahun lalu.

Ia juga bakal dieksport ke negara serantau lain terutama untuk pasaran pemanduan sebelah kanan.

“X70 mula dieksport ke Brunei Januari lalu dan kami akan melihat potensi pasaran di negara lain untuk tahun ini namun pasaran tempatan tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Katanya, tempoh menunggu sekitar tiga minggu diperlukan untuk pembelian model terbaharu ini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:30 AM