PERMAINAN interaktif dan simulator FI antara aktiviti dijalankan pada program jelajah Skuad Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020. FOTO Amirudin Sahib
Redzuan Muharam

LEBIH 12,000 pengunjung dijangka memeriahkan siri jelajah Skuad Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang diadakan bermula bulan ini hingga November depan secara berperingkat.

Sekretariat Kebangsaan APEC 2020, Norhayati Abd Manaf berkata, empat lokasi berkenaan adalah di sekitar Lembah Klang bulan ini diikuti Sabah pada April, Pulau Pinang (Jun) dan akhir sekali Kuala Lumpur serta Putrajaya (November).

Menurut Norhayati, penganjuran siri jelajah itu sempena pembukaan persidangan Mesyuarat Pertama Pegawai-Pegawai Kanan (SOM 1) bermula bulan ini dengan matlamat berkongsi pengetahuan serta mendidik masyarakat mengenai peranan APEC kepada negara.

Katanya, ia juga inisiatif bagi mempromosikan APEC 2020 memandangkan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah tahun ini.

“Kali terakhir Malaysia menjadi penganjur APEC adalah pada 1998 iaitu 22 tahun lalu.

“Tahun ini, Malaysia kembali menjadi tuan rumah dan sempena itu diadakan program sebegini bagi mendekati orang awam, sekali gus memberi informasi kepada mereka mengenai APEC.

“Untuk permulaan, kita menganjurkan siri jelajah di enam lokasi terpilih di dalam kampus dan sekitarnya sebelum diteruskan di tempat lain hingga November nanti,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 11:24 AM