KAMARUL Ariffin (tiga dari kanan) menerima sijil pengiktirafan daripada Sin.
HM Bisnes

Affin Bank Berhad (AFFINBANK) mencipta rekod di dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Aplikasi Mudah Alih Pembangunan Komuniti PKS yang pertama melalui produknya, SMEColony.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFINBANK, Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, ini adalah pengiktirafan ketiga bagi aplikasi mudah alih SMEColony selepas menerima pengiktirafan Inisiatif Perbankan PKS Terbaik untuk Start-up (Malaysia) oleh Anugerah International Finance pada September tahun lalu dan pengiktirafan kategori teknologi mudah alih dalam industri perbankan pada majlis Malaysia Technology Excellence Awards 2019 pada Disember tahun lalu.

“SMEColony ialah aplikasi mudah alih pertama yang dibangunkan untuk pembangunan komuniti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia. Ia menghubungkan usahawan PKS, rakan niaga dan AFFINBANK serta mewujudkan sinergi perniagaan dalam kalangan usahawan PKS dalam ekosistem digital,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Peingiktirafan itu diterima daripada Pengurus Besar The Malaysia Book of Records, Edward Sin dalam majlis yang diadakan di Menara Affin, baru-baru ini.

Menurutnya, aplikasi mudah alih itu adalah saluran digital untuk PKS mengakses sumber dan penyelesaian perniagaan komprehensif dengan pantas bagi membolehkan PKS mengembangkan perniagaan mereka.

“Usahawan PKS ini dapat menikmati manfaat dengan aplikasi mudah alih berkenaan menerusi sumber informasi, penyelesaian berasaskan pasaran serta memberi peluang jaringan di antara kira-kira 50 rakan strategik untuk membolehkan PKS mencari penyelesaian yang tepat bagi keperluan perniagaan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:10 AM