IZHAM. FOTO Salhani Ibrahim
HM Bisnes

MALAYSIA Airlines membentuk perjanjian perkongsian kod dengan LATAM Airlines Group sebagai kaedah bagi menawarkan lebih banyak pilihan sambungan yang lancar kepada pelanggannya.

Mulai bulan ini, pelanggan Malaysia Airlines akan dapat terbang ke Santiago, Chile menerusi Auckland (New Zealand), Sydney (Australia) atau Melbourne (Australia) melalui perkhidmatan Trans-Pacific LATAM yang kini dipasarkan dengan kod penerbangan MH Malaysia Airlines.

Malah, penumpang LATAM Airlines akan dapat menyambung ke Kuala Lumpur melalui bandar yang sama di Oceania dengan penerbangan Malaysia Airlines yang membawa kod LA LATAM.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, perjanjian baharu ini akan mengukuhkan lagi komitmen pihaknya dalam menyediakan lebih banyak pilihan kepada penumpang.

“Dengan ini, kami akan mampu membina asas kami di Amerika Selatan, yang mana Chile akan menjadi gerbang kepada rakyat Malaysia untuk meneroka rantau ini.

“Perkongsian kod ini mewujudkan satu lagi kaedah untuk pengembara antarabangsa terbang ke Malaysia dan merasai budaya yang menakjubkan serta keindahan alam semula jadi yang ditawarkan oleh negara ini.

“Kami akan memastikan bahawa perjalanan mereka ke Malaysia akan menjadi pengalaman yang luar biasa bermula daripada kenaikan mereka ke dalam pesawat kami yang ditampilkan dengan hospitaliti Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 11:36 AM