SEBANYAK 80 peratus daripada portfolio perniagaan Bank Rakyat adalah daripada segmen pembiayaan peribadi.
SEBANYAK 80 peratus daripada portfolio perniagaan Bank Rakyat adalah daripada segmen pembiayaan peribadi.
Sri Ayu Kartika Amri

BANK Rakyat komited mempelbagaikan portfolio perniagaannya sekali gus memberikan tumpuan untuk meningkatkan sumbangan segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS), korporat dan koperasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rosman Mohamed berkata, di bawah pelan hala tuju Bank Rakyat 2025 (BR25), pihaknya akan memberi tumpuan terhadap ketiga-tiga portfolio terbabit.

Katanya, buat masa ini 80 peratus daripada portfolio perniagaan Bank Rakyat adalah daripada segmen pembiayaan peribadi.

“Walaupun jumlah pembiayaan peribadi besar namun pembiayaan tidak berbayar kasar (GIF) kami masih di bawah dua peratus.

“Kami merancang untuk mengurangkan sumbangan pembiayaan peribadi ini kepada 70 peratus dengan menyasarkan segmen PKS, korporat dan koperasi masing-masing menyumbang RM5 bilion kepada jumlah pembiayaan Bank Rakyat dalam tempoh lima tahun.

“Buat masa ini, kira-kira RM2.5 bilion disumbangkan oleh pembiayaan koperasi, manakala RM2.5 bilion lagi oleh sektor korporat termasuk PKS,” katanya.

Katanya, dalam usaha memperkasa portfolio PKSnya, Bank Rakyat juga merancang mewujudkan sembilan Pusat PKS di seluruh negara bagi meningkatkan akses golongan usahawan terhadap pembiayaannya.

“Kami menyasarkan membuka tiga atau empat Pusat PKS separuh kedua tahun ini dengan lokasi cadangan di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Bank Rakyat akan membantu pelanggan PKS yang menerima pembiayaannya untuk disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia.

“Buat masa ini, kami sudah mengenal pasti kira-kira tiga syarikat yang memiliki potensi untuk disenaraikan dan sasaran kami adalah untuk membantu sekurang-kurangnya dua syarikat untuk disenarai ke bursa setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 7:00 AM