HARIS Fadzilah (tiga dari kiri) menunjukkan produk tenusu RedAgri. FOTO NSTP
HARIS Fadzilah (tiga dari kiri) menunjukkan produk tenusu RedAgri. FOTO NSTP

FGV Holdings Bhd (FGV) mempelbagaikan perniagaannya ke ternakan tenusu dan pemprosesan susu segar dengan langganan saham baharu berjumlah 60 peratus kepentingan ekuiti dalam modal saham RedAgri Farm Sdn Bhd (RedAgri) yang diperbesarkan sebanyak RM10 juta.

Ia menandakan langkah pertama bagi kumpulan itu untuk menjadi syarikat agri makanan bersepadu.

Pengambilalihan RedAgri yang memiliki jenama produk tenusu Bright Cow membolehkan FGV meningkatkan lebih banyak nilai daripada sumbernya yang sedia ada dan memanfaatkan sinergi dalam ekonomi pusingan berasaskan sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, penternakan tenusu adalah satu tonggak perniagaan ternakan bersepadu FGV.

“Komponen penting lain ialah pemakanan haiwan, padi dan beras dan tanaman tunai, termasuk nanas MD2 dan pisang Cavendish,” katanya dalam kenyataan.

Haris Fadzilah berkata, FGV meningkatkan pengeluaran operasi makanan haiwan berasaskan sawit dengan jualan 2019 mencatatkan kenaikan 113 peratus kepada 21,600 juta tan metrik daripada 10,200 tan metrik pada 2018.

“Apabila kapasiti meningkat sehingga 150,000 tan metrik setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang, kami melihat pendapatan tambahan RM120 juta daripada perniagaan ini,” katanya.

Pada 2019, FGV mengumumkan bahawa ia akan memasuki ekonomi pusingan berasaskan sawit untuk memanfaatkan sinergi lumayan yang dibentangkan oleh operasi sawit kumpulan itu yang luas.

RedAgri kini memproses 4,000 liter susu segar setiap hari dan akan dinaikkan kepada 20,000 liter sehari menjelang 2022.

Dengan sokongan petani kontrak, FGV akan dapat meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan tempatan yang meningkat.

Haris Fadzilah berkata, Malaysia mengimport produk tenusu bernilai RM3.9 bilion setahun kerana pengeluaran tempatan hanya berjumlah 67.1 juta liter setiap tahun atau 61 peratus daripada permintaan dalam negeri ketika ini dengan baki 40.0 juta liter lagi diimport.

Senario sama juga berlaku kepada beberapa produk makanan utama yang lain, mewujudkan peluang untuk organisasi seperti FGV untuk mendapat manfaat daripada penggantian import dan pada masa yang sama menyokong wawasan kerajaan iaitu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 7:30 AM
Digital NSTP Subscribe