FOTO Shahrul M Zain
FOTO Shahrul M Zain

JABATAN Pertanian Malaysia (DOA) komited meningkatkan kesedaran mengenai produk sayur dan buah selamat dimakan menerusi logo skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

Ketua Unit Komunikasi Korporat DOA, Hasmiza Hussin berkata, pihaknya memulakan siri jelajah mempromosikan myGAP terutama melalui kerjasama dengan pasar raya besar bagi memberi kesedaran kepada orang ramai.

Katanya, kebanyakan produk memiliki logo myGAP berada di pasar raya besar seperti AEON dan Tesco seluruh negara.

“Sekarang kami menjalin kerjasama dengan pasar raya besar Mydin untuk menyediakan ruang khas bagi meletakkan semua produk dari ladang yang ada myGAP.

“Akhir Mac ini, kami ada perasmian myGAP di Mydin USJ,” katanya kepada Harian Metro ketika sesi lawatan kerja DOA ke Balai Berita di sini, semalam.

Hasmiza berkata, pihaknya memperluaskan tahap kesedaran itu ke seluruh negara.

“Kami mahu bila pengguna melihat logo myGAP, mereka tahu sayur atau buah dibeli itu selamat.

“Kami juga mengunjungi setiap pasar raya bagi memberi penerangan kepada pihak pasar raya mengenai pensijilan myGAP,” katanya yang mengakui masyarakat di negara ini lebih maklum mengenai produk organik berbanding produk MyGAP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 7:10 AM
Digital NSTP Subscribe