KENDERAAN Petronas ROVR sedia khidmat mengisi bahan bakar mudah alih pertama dalam negara. FOTO Eizairi Shamsudin
KENDERAAN Petronas ROVR sedia khidmat mengisi bahan bakar mudah alih pertama dalam negara. FOTO Eizairi Shamsudin

PETRONAS Dagangan Bhd (PDB) mencatatkan prestasi lebih baik daripada jangkaan pasaran pada tahun lalu berikutan pelbagai inisiatif diambil khususnya membabitkan kepuasan pelanggan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Azrul Osman Rani berkata, peningkatan jumlah jualan dicatatkan adalah hasil usaha dilakukan dalam memberikan keutamaan kepada pelanggan.

“Permintaan untuk produk kami meningkat, terutama sejak kami melancarkan Primax 95 dengan Pro-Drive, produk berkualiti tinggi yang disahkan kebanyakan pelanggan kami.

“Berbanding prestasi tahun sebelum ini, perniagaan runcit mencatatkan pertumbuhan sebanyak 16 peratus dalam keuntungan kasar dan peningkatan sebanyak 7.0 peratus dalam jumlah dagangan jualan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, perniagaan komersial PDB juga mencatatkan peningkatan sebanyak 8.0 peratus dalam keuntungan kasar dan 4.0 peratus dalam jumlah jualan terutama daripada permintaan yang lebih tinggi membabitkan diesel, Jet A1 dan Bitumen.

Walaupun pasaran agak kompetitif dan menurun, perniagaan gas petroleum cecair (LPG) mencatatkan pertumbuhan satu peratus pertumbuhan dalam jumlah dagangan.

“Pelancaran SETEL iaitu penyelesaian e-pembayaran di seluruh negara dan pengenalan ROVR, perkhidmatan pengisian bahan api mudah alih antara faktor utama prestasi lebih baik ini dan kami akan terus memberikan pengalaman yang lancar kepada pelanggan.

“SETEL adalah platform peruncitan pintar termaju yang meningkatkan keupayaan pembayaran bahan api, kesetiaan dan pengalaman runcit, sementara ROVR adalah perkhidmatan mengisi bahan bakar mudah alih yang pertama di negara ini,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, PDB mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM829.54 juta daripada RM849.85 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM30.29 bilion daripada RM30.07 bilion berikutan pertambahan lima peratus dalam jumlah jualan atau lebih daripada dua kali ganda pertumbuhan industri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 6:10 AM
Digital NSTP Subscribe