AMIRUDDIN Abdul Satar. FOTO Aziah Azmee
AMIRUDDIN Abdul Satar. FOTO Aziah Azmee

KPJ Healthcare Bhd terus mencatatkan prestasi kewangan cemerlang dengan pertumbuhan pesat tahun ke tahun disokong oleh momentum kukuh dalam operasi hospital di Malaysia.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, KPJ Perdana di Kota Bharu, Kelantan dan KPJ Pasir Gudang di Johor kedua-duanya mencapai pendapatan lebih RM100 juta untuk kali pertama.

“KPJ dapat memenuhi matlamatnya untuk membuka tiga hospital baharu pada 2019, iaitu KPJ Bandar Datuk Onn, KPJ Batu Pahat dan KPJ Miri,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, melangkah ke hadapan, pada 2020, kumpulan itu juga akan memindahkan beberapa hospital dari tempat asalnya secara strategik selepas mencapai kapasiti tahap maksimum ke bangunan hospital baharu dengan kapasiti yang lebih besar, iaitu Hospital Pakar KPJ Kuching dan Hospital Pakar KPJ Kluang.

“Selain daripada operasi di Malaysia yang kukuh, hospital di Indonesia, Rumah Sakit Medika Bumi Serpong Damai di Jakarta dapat mengembangkan perniagaannya, terutamanya menerusi pemasaran agresif yang menawarkan pakej inovatif serta penambahan lebih banyak katil pesakit,” katanya.

Katanya, kumpulan itu juga kemungkinanan akan meneroka pengembangan ke pasaran baharu seperti Vietnam, China dan Timur Tengah, sebagai sebahagian daripada usaha besarnya dalam pelancongan perubatan di Malaysia.

Bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, KPJ mencatatkan keuntungan bersih RM84 juta daripada RM53.32 juta pada suku keempat 2018, disokong oleh perolehan yang lebih tinggi terutamanya disumbangkan oleh operasi hospital di Malaysia.

Perolehan dalam suku keempat pada 2019 meningkat kepada RM944 juta daripada RM876.55 juta sebelumnya.

Bagi tahun kewangan 2019, keuntungan bersih KPJ meningkat kepada RM211.37 juta daripada RM179.44 juta pada tahun kewangan 2018, sementara pendapatan lebih tinggi pada RM3.60 bilion daripada RM3.37 bilion sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 6:15 AM