Penambahbaikan aspek logistik dan jaringan perhubungan di sempadan antara Malaysia dan Thailand perlu dilakukan bagi melonjakkan lagi ekonomi kedua-dua negara.

Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, beberapa cabaran perlu ditangani terutama di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi memastikan infrastruktur rentas sempadan dapat dilaksanakan.

Katanya, kesalinghubungan penting kerana Malaysia dan Thailand terletak betul-betul di tanah besar dan kawasan tumpuan maritim Asean.

“Kedua-dua kerajaan sudah meluluskan tambahan laluan Jambatan Rantau Panjang-Golok termasuk jambatan baharu antara Takbai dan Pengkalan Kubor. Bagaimanapun, projek terbabit masih belum bermula.

“Selain itu, kita lihat pendapatan penduduk di utara Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan dan Selatan Thailand berada pada paras miskin.

“Bagi merapatkan jurang pendapatan ini, kedua-dua kerajaan perlu menunjukkan komitmen mereka untuk meningkatkan status sosio-ekonomi rakyat di sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Siri Meja Bulat Asean bertema Malaysia-Thailand Ke Arah Hubungan Merentasi Sempadan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 7:30 AM
Digital NSTP Subscribe