Sri Ayu Kartika Amri

MCDONALD’S Malaysia memperuntukkan pelaburan RM1.2 bilion bagi memperluas rangkaian restoran dan perniagaannya dalam tempoh lima ke tujuh tahun.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, sebahagian daripada pelaburan itu syarikat merancang membuka 150 lagi cawangan dengan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan menjelang 2025.

Katanya, buat masa ini ada 300 cawangan McDonald’s di seluruh negara dan pihaknya merancang membuka cawangan baharu menjadikan keseluruhan 450 cawangan menjelang 2025.

“Untuk tahun ini saja, kami merancang membuka 25 cawangan baharu McDonald’s dengan setiap cawangan membabitkan pelaburan antara RM5 juta dan RM6 juta.

“Dengan kewujudan cawangan baharu secara tak langsung kami membuka peluang pekerjaan kerana satu cawangan memerlukan 80 hingga 100 kakitangan,” katanya pada majlis konvokesyen Program Perantis Vokasional McDonald’s di Petaling Jaya, semalam.

AZMIR (kanan) pada majlis konvokesyen Program Perantis Vokasional McDonald’s, semalam. FOTO Fathil Asri
AZMIR (kanan) pada majlis konvokesyen Program Perantis Vokasional McDonald’s, semalam. FOTO Fathil Asri

Sementara itu, ketika ditanya mengenai impak penularan wabak Covid-19 terhadap operasi McDonald’s, Azmir berkata, perkembangan syarikat masih positif.

“Sejak penularan Covid-19, kami mengambil langkah berjaga-jaga di semua restoran dengan mengikuti setiap langkah keselamatan ditetapkan antaranya memakai penutup mulut dan menggunakan pembasmi kuman.

“Bagaimanapun, operasi berjalan seperti biasa dan dari segi perniagaan pula setakat ini masih menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

McDonald’s Malaysia optimis mencapai sasaran 5,000 perantis menerusi Program Perantis Vokasional McDonald’s menjelang akhir tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 7:15 AM
    Digital NSTP Subscribe