INDUSTRI sarung tangan beroperasi pada tahap separuh kapasiti.
INDUSTRI sarung tangan beroperasi pada tahap separuh kapasiti.
HM Digital

Kuala Lumpur: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) menggesa kerajaan untuk membenarkan pengeluaran sarung tangan berjalan pada kapasiti penuh pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding dengan 50 peratus ketika ini.

Presidennya, Denis Low berkata, industri sarung tangan beroperasi pada tahap separuh kapasiti seperti diarahkan kerajaan.

“Kerajaan meminta kami mengurangkan sehingga 50 peratus daripada tenaga kerja kami ketika dalam PKP, oleh itu, separuh kapasiti pengeluaran akan hilang.

“Ini agak besar memandangkan Malaysia dijangka menghasilkan 220 bilion sarung tangan getah pada tahun ini dan ia kritikal kerana sarung tangan getah diperlukan bagi menangani Covid-19,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, setiap pekerja penjagaan kesihatan diberi mandat memakai sarung tangan bagi menangani Covid-19 dan ini mencerminkan betapa pentingnya sarung tangan getah ketika ini.

Industri itu memenuhi permintaan melalui pengurusan masa dan mempercepat talian pengeluaran. Ini membolehkan ia mencapai kapasiti 220 bilion keping sarung tangan getah tahun ini.

Baru-baru ini, Margma dilaporkan mendapatkan persetujuan kerajaan untuk membenarkan pembekal perkhidmatan, bahan mentah dan pembungkusan dalam industri sarung tangan getah agar beroperasi di tengah-tengah PKP Covid-19.

Low berkata, anggota Margma menerima permintaan dari 190 negara dan ada kerajaan merayu mendapatkan tambahan sarung tangan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 9:52 AM
    Digital NSTP Subscribe