GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) komited untuk memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan tanpa gangguan terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, pihaknya berharap pelanggan tidak panik dalam keadaan genting ini.

“Kami menasihati pelanggan agar tidak bimbang mengenai bekalan air kerana ia selamat untuk digunakan.

“Risiko koronavirus untuk berada dalam bekalan air adalah rendah kerana klorin didoskan dalam proses rawatan air yang menjadi agen pembunuh bakteria, mikroorganisma dan virus,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, Air Selangor juga bertindak secara proaktif dengan melaksanakan inisiatif selaras dengan PKP antaranya penutupan sementara semua Kaunter Khidmat Pelanggan Air Selangor di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 19 hingga 31 Mac 2020.

“Sepanjang penutupan sementara ini, pelanggan digalakkan untuk menjalankan segala urusan dan transaksi secara atas talian melalui sistem e-bil atau aplikasi Air Selangor yang boleh dimuat turun melalui App Store atau Google Play Store.

“Kami juga menghentikan sementara perkhidmatan pembacaan meter dan permohonan baharu bekalan air oleh pihak pemaju sehingga 31 Mac 2020.

“Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko pendedahan terhadap warga kerja kami yang berada di lapangan.

“Dalam tempoh perintah ini, pelanggan akan menerima bil anggaran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 3:07 PM
    Digital NSTP Subscribe