KERAJAAN diharap turut memberi perhatian kepada golongan yang tiada KWSP yang terkesan berikutan pandemik Covid-19. FOTO HAFIZ SOHAIMI
KERAJAAN diharap turut memberi perhatian kepada golongan yang tiada KWSP yang terkesan berikutan pandemik Covid-19. FOTO HAFIZ SOHAIMI
MOHAMMAD Tawfik
MOHAMMAD Tawfik

KERAJAAN diharap turut memberi perhatian kepada golongan yang tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang juga terkesan berikutan pandemik Covid-19 dalam merangka inisiatif tambahan kelak.

Pensyarah kanan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keprihatinan kerajaan dalam menyediakan inisiatif berkaitan dapat melindungi mereka yang tiada caruman dengan dana persaraan itu.

Beliau berkata ada sebahagian rakyat, khususnya peniaga kecil terkesan dengan penularan jangkitan Covid-19 selain impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), justeru perancangan susulan perlu dilakukan segera oleh kerajaan untuk membantu mereka.

“Dalam situasi begini, institusi kerajaan yang mempunyai autonomi kewangan dan bidang kuasa boleh membantu menerusi pengecualian sewa atau bantuan segera kewangan kepada peniaga berdaftar dan berlesen.

“Sementara itu institusi agama seperti zakat dan masjid yang mempunyai pendapatan besar boleh memainkan peranan lebih aktif membantu golongan ini,” katanya.

Mohammad Tawfik berpendapat langkah membenarkan 12 juta ahli KWSP mengeluarkan simpanan dijangka berjumlah RM40 bilion bermula 1 April dapat membantu kerajaan menumpukan penyaluran dana lebih besar kepada sektor kesihatan negara.

“Inisiatif itu memberi kelebihan kepada rakyat Malaysia khususnya pekerja sektor swasta untuk mempunyai wang tunai tambahan,” katanya.

Beliau berkata, belanjawan negara sebelum ini lebih banyak diperuntukkan kepada sektor pendidikan, oleh yang demikian, kini sektor kesihatan sewajarnya memperoleh kedudukan sama dari segi dana.

“Pembinaan hospital baharu perlu mengikut nisbah penduduk dan doktor. Negara juga perlu teknologi maju serta penambahan warga kerja sektor kesihatan awam di kawasan pedalaman,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli berkata, golongan pekerja boleh berbelanja menggunakan tambahan wang tunai yang ada sekali gus membantu meningkatkan aliran tunai di dalam sistem ekonomi negara.

Perbelanjaan isi rumah ini, terutama ke atas barangan pengguna, adalah seiring dengan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara yang dijangka lembap sehingga suku ketiga tahun ini.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih rendah iaitu 3.6 peratus hingga 4.0 peratus tahun ini, berbanding unjuran awal 4.8 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 6:55 PM
Digital NSTP Subscribe