PELANGGAN Kad Kredit-i diberikan diskaun kadar keuntungan 50 peratus apabila membuat pengeluaran tunai.
PELANGGAN Kad Kredit-i diberikan diskaun kadar keuntungan 50 peratus apabila membuat pengeluaran tunai.

BANK Rakyat menjangkakan kempen Bank Rakyat Cares akan memberi manfaat kepada hampir lapan juta pelanggannya yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Ia termasuk pelanggan Kad Kredit-i yang diberikan diskaun kadar keuntungan 50 peratus apabila membuat pengeluaran tunai.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, dengan cara ini, pelanggan bukan saja mempunyai lebihan tunai tetapi dikenakan kadar keuntungan yang lebih rendah daripada kadar keuntungan sedia ada.

“Inisiatif ini membolehkan Bank Rakyat membantu pelanggan kad kredit yang 30 peratus daripadanya terdiri daripada golongan B40 untuk menguruskan keperluan harian mereka.

“Inisiatif ini tambahan kepada program bantuan kewangan sedia ada kami termasuk moratorium pembayaran balik pembiayaan selama enam bulan yang ditawarkan kepada semua individu dan perniagaan yang terjejas seperti yang diumumkan 8 Februari lalu,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan kempen Bank Rakyat Cares yang tertumpu kepada tiga produk Bank Rakyat iaitu Pembiayaan Berjangka-i untuk usahawan mikro, Pembiayaan Berjangka-i untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi serta Kad Kredit-i.

Katanya, Bank Rakyat memperuntukkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM200 juta yang menjadi sebahagian daripada usaha bagi membantu usahawan dan koperasi untuk menangani masalah kewangan mereka serta membantu mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek akibat kesan Covid-19.

“Kempen dari 23 Mac sehingga 30 September 2020 diharap membantu usahawan dan koperasi mengekalkan kesinambungan perniagaan masing-masing dapat melonjakkan semula ekonomi negara,” katanya.

Melalui Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares (Usahawan Mikro), ia terbuka kepada semua sektor yang layak termasuk borong/runcit, pertanian dan berasaskan pertanian, pelancongan dan kesihatan, pengangkutan serta perkhidmatan dengan pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh sehingga lima tahun.

Bank turut menawarkan penangguhan sementara sehingga sembilan bulan bagi bayaran balik pembiayaan bulanan untuk pemilik perniagaan yang terjejas dengan 50 peratus yuran guaman ditanggung oleh Bank.

Manakala Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares (PKS dan Koperasi) pula, ia menawarkan pembiayaan sehingga RM200,000 bagi tempoh sehingga lima tahun dengan penangguhan sementara sehingga sembilan bulan bagi bayaran balik pembiayaan bulanan bagi pemilik perniagaan terjejas.

Menurutnya, pada masa sama usahawan juga boleh memohon Kemudahan Bantuan Khas di bawah tabung Bank Negara Malaysia yang terbuka kepada PKS bagi membantu perniagaan dan isi rumah yang terjejas oleh wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:15 AM
Digital NSTP Subscribe