BERNAMA

ASTRO Malaysia Holdings Bhd (Astro) merekodkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) lebih tinggi kepada RM657 juta, meningkat 17 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2020.

Susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bertambah tujuh peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.7 bilion manakala, hasil purata setiap pelanggan (ARPU) kekal kukuh pada RM100.

Pengerusinya, Tun Zaki Azmi berkata, walaupun wujud halangan dalam persekitaran ekonomi global dan cabaran semasa dalam landskap media pada tahun kewangan lalu, Astro terus menjana pendapatan tunai dan mengawal kos kewangan secara berdisiplin dan sentiasa proaktif dari aspek pengurusan modal syarikat.

"Berikutan wabak Covid-19, Lembaga Pengarah memutuskan untuk mengambil langkah berhemah dengan menyederhanakan dividen interim keempat kepada 1.5 sen sesaham," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Henry Tan berkata, keputusan kewangan ini menggambarkan daya tahan syarikat dalam persekitaran operasi yang mencabar dan ditambah pula dengan ancaman cetak rompak.

"Kami mencatatkan pertumbuhan PATAMI dengan mengoptimumkan kos dan mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi hiburan dan gerbang untuk setiap isi rumah melalui perkhidmatan TV berbayar, NJOI, Penjualan dan Jalur Lebar," katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak bahawa sektor perniagaan kini berdepan dengan cabaran sosial dan ekonomi akibat wabak Covid-19.

"Walaupun terus bersiaran seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami turut mengaktifkan pelan penerusan perniagaan dan juga menjamin keselamatan pekerja.

"Kakitangan kami kini dibahagikan dalam beberapa kumpulan dengan kebanyakan mereka bekerja dari rumah.

"Kami di Astro tetap berusaha untuk memastikan rakyat Malaysia sentiasa dimaklumkan dan dihiburkan dalam tempoh yang mencabar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 8:54 PM
Digital NSTP Subscribe