ABDUL Farid Alias. FOTO Aizuddin Saad
ABDUL Farid Alias. FOTO Aizuddin Saad

PERSATUAN Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) memberi jaminan ahlinya memberi lanjutan automatik bagi kemudahan kredit untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa 1 April 2020 kepada pelanggan runcit tidak termasuk kad kredit dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi ABM yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Group, Datuk Abdul Farid Alias berkata, faedah akan terakru sepanjang tempoh moratorium itu namun tiada pembayaran faedah dan prinsipal diperlukan bagi kemudahan kredit sepanjang tempoh enam bulan.

“Bagi segmen lain, moratorium terpakai berdasarkan setiap kes dan pelanggan perlu berhubung dengan pelanggan mereka untuk membincangkan bantuan khusus mengurangkan beban mereka.

“Bank mengakui sebahagian besar pelanggan bertanggungjawab dalam pembayaran balik. Dengan keadaan menjadi sebaliknya seperti penyakit, perubahan status perkahwinan dan kehilangan pekerjaan, kami tiada sebab untuk mempercayai ada perubahan dalam tingkah laku ini.

“Moratorium langkah terbaik memberikan jaminan pemeliharaan pekerjaan terbesar di tengah-tengah pelarasan kewangan peribadi. Ia juga demi kepentingan terbaik bagi semua orang kembali bekerja.

“Dalam hal ini, kami menjangka sebarang isu kualiti aset sebaliknya menjadi agak singkat dan bersifat sementara,” katanya.

Menurutnya, langkah diumumkan itu dirangka bukan saja menyokong pelanggan dalam persekitaran global yang luar biasa, tetapi untuk memastikan bank terus memainkan peranan dalam memapankan ekonomi negara.

“Kami berharap ia memberi pelanggan ruang bernafas ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, ABM menjelaskan bahawa ia membentangkan beberapa permintaan kepada BNM, terutama berkaitan pengiktirafan dan klasifikasi aset, dasar berkaitan MFRS9, kecairan dan modal serta tingkah laku pasaran berkenaan aktiviti pengambilan deposit.

Sementara perkara itu dalam perbincangan, persatuan bank itu memberi jaminan permintaannya itu, jika diberikan, tidak menimbulkan risiko yang tidak wajar kepada industri kewangan di Malaysia, memandangkan bank berhemat dalam menguruskan tahap modal mereka melebihi keperluan peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:15 AM
Digital NSTP Subscribe