AIA tawar bantuan kewangan kepada kakitangan perubatan. FOTO Arkib NSTP
AIA tawar bantuan kewangan kepada kakitangan perubatan. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam


AIA Malaysia menawarkan bantuan kewangan kepada semua doktor, jururawat dan kakitangan berkhidmat di hospital rujukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terbabit dalam pemeriksaan dan rawatan pesakit Covid-19 di Malaysia.

Inisiatif itu sebahagian tanda penghargaan AIA di atas pengorbanan dan sumbangan diberikan oleh komuniti perubatan dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai petugas barisan hadapan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Bantuan kewangan ditawarkan adalah elaun kesulitan sebanyak RM1,000 yang dibayar sekali saja untuk mana-mana doktor, jururawat atau kakitangan hospital disahkan positif Covid-19 ketika menjalankan tugas.

Selain itu, bantuan ihsan sebanyak RM10,000 turut diberikan kepada waris doktor, jururawat atau kakitangan hospital yang meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Ben Ng berkata, usaha gigih dan dedikasi ditunjukkan doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat mengharukan dan perlu dikagumi.

“Wira-wira negara ini adalah barisan pertahanan pertama dalam usaha kita untuk memerangi penularan Covid-19 dan kami berharap sumbangan diberi dapat memberi ketenangan fikiran kepada mereka dan ahli keluarga dalam perjuangan melawan wabak.

“Kami menghargai dan berterima kasih kepada semua doktor, jururawat dan kakitangan hospital atas pengorbanan mereka sepanjang tempoh sukar ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita turut bersatu mengharungi cabaran ini dan berharap dapat mengatasinya bersama-sama,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, bantuan kewangan itu ditawarkan kepada doktor, jururawat dan kakitangan hospital bermula dari 1 Mac hingga 30 Jun atau apabila jumlah dana sebanyak RM2 juta diagihkan sepenuhnya (yang mana lebih awal), tanpa sebarang tempoh menunggu.

Katanya, sumbangan ini adalah susulan daripada pengumuman awal AIA untuk memberikan perlindungan insurans dan takaful tambahan secara percuma kepada pelanggan, kakitangan dan Perancang Hayat AIA.

“Perlindungan itu juga menyediakan manfaat kemasukan ke hospital dan kematian yang menjadi sebahagian daripada komitmen AIA dalam menjaga kebajikan pelanggan, kakitangan dan tenaga agensinya supaya mereka kekal dilindungi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:01 PM