PENUNGGANG perkhidmatan penghantaran makanan menonton siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, semalam.
PENUNGGANG perkhidmatan penghantaran makanan menonton siaran langsung pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, semalam.

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat menjadi peluang kepada kerajaan untuk mereformasi ekonomi.

Pakar Ekonomi dan Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, secara keseluruhannya pakej rangsangan ini dapat membantu aliran ekonomi terutama dalam keadaan krisis semasa.

Katanya, ada dua aspek utama diberi perhatian dalam pakej ini yang bukan saja tertumpu kepada rakyat, malah sektor perniagaan.

“Seperti diumumkan perdana menteri, kita dapat lihat kerajaan berusaha meningkatkan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui beberapa bantuan dan banyak dana seperti kredit mikro.

“Kerajaan memperuntukkan RM100 bilion untuk keseluruhan PKS dan jumlah ini besar kepada kerajaan terutama ketika harga minyak yang rendah.

“Secara analoginya, apabila kerajaan menyuntik dana sebanyak RM100 bilion, kita jangkakan ekonomi dapat dijana semula pada jumlah RM150 bilion dan sudah pasti kita berharap situasi ini akan berlaku.

“Namun, paling penting pelaksanaan pakej rangsangan ini kerana kerajaan perlu melihat PKS yang memberi impak berganda dan mampu memberi pulangan lebih baik kepada kerajaan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan terhadap PKS perlu dipilih lebih berhati- hati dengan mengutamakan beberapa aspek.

“Sebagai contoh, jika ada dua firma PKS iaitu Firma A yang menggaji 100 peratus rakyat tempatan dan Firma B yang menggaji 70 peratus pekerja asing.

“Yang mana satukah perlu diutamakan kerajaan dalam menyalurkan dana disediakan ini?” katanya.

Selain itu, Mohd Yusof berkata, subsidi upah RM600 diberi selama tiga bulan juga mampu membantu aliran tunai PKS.

“Ini masanya untuk kerajaan bantu syarikat yang produktif. Ada beberapa perkara perlu dipertimbang kerana bantuan diberi ini hanya untuk dua bulan dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saja.

“Ini bermakna, kerajaan perlu pantau untuk tempoh tiga bulan dan seterusnya.

“Manakala secara keseluruhan dengan mengambil kira dua pengumuman sebelum ini iaitu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan penangguhan pembayaran bank, kerajaan harus memikirkan golongan tidak mendapat manfaat KWSP atau insurans.

“Ini kerana mengikut statistik Bank Dunia, 40 peratus pekerja di Malaysia termasuk dalam sektor pekerjaan tidak rasmi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, jumlah RM250 bilion diperuntukkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin mengambil kira langkah diumum sebelum ini.

Beliau berkata, saiz rangsangan fiskal ialah 17 peratus dan ini lebih besar berbanding 10 peratus pada pakej rangsangan 2009.

“Kita dapat melihat pakej ini disalurkan kepada golongan B40 dan M40 melalui subsidi gaji dan langkah menyokong perniagaan.

“Pakej ini menyeluruh dan komprehensif. Oleh itu, adalah mustahak untuk memastikan semua orang dapat mematuhi PKP supaya dapat memutuskan rantaian penyebaran Covid-19,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 7:01 AM