PKS juga boleh memohon skim BizMula-i dan BizWanita-i disediakan CGC bagi pembiayaan sehingga RM300,000.
PKS juga boleh memohon skim BizMula-i dan BizWanita-i disediakan CGC bagi pembiayaan sehingga RM300,000.

Bank Negara Malaysia (BNM) menambah peruntukan di bawah Dana BNM untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) RM4 bilion kepada RM13.1 bilion sebagai langkah tambahan bagi membantu individu dan PKS yang terjejas akibat wabak Covid-19.

BNM dalam kenyataan berkata, antara penambahan peruntukan disediakan adalah Kemudahan Bantuan Khas (SRF), daripada RM2 bilion kepada RM5 bilion bagi membantu lebih banyak PKS yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Kadar pembiayaan maksimum diturunkan daripada 3.75 peratus setahun kepada 3.5 peratus setahun.

“Selain itu, ada peruntukan tambahan kepada Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) daripada RM5.8 bilion kepada RM6.8 bilion bagi meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan dan menyokong pertumbuhan.

“Kadar pembiayaan maksimum dikurangkan daripada 8 peratus setahun kepada 7 peratus setahun,” katanya.

Menurutnya, PKS boleh memohon tiga kemudahan lain di bawah Tabung itu, iaitu Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Agromakanan (AF) dan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF).

“PKS yang berminat boleh memohon pembiayaan dengan menelefon atau menghantar e-mel kepada institusi kewangan peserta (PFI), atau melawat platform rujukan pembiayaan perniagaan di www.imsme.com.my.

“PKS boleh memohon skim BizMula-i dan BizWanita-i yang disediakan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi pembiayaan sehingga RM300,000.

“Institusi kewangan peserta juga boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada CGC atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi kemudahan itu,” katanya.

Sejak kemudahan itu dibuka untuk permohonan pada 6 Mac 2020, institusi kewangan peserta meluluskan pembiayaan RM119 juta kepada 196 PKS, dengan kadar kelulusan 84 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 8:00 AM