ADRIAN (kanan) menunjukkan PPE kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan diagihkan kepada 30 hospital.
ADRIAN (kanan) menunjukkan PPE kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan diagihkan kepada 30 hospital.
Oleh Muhamaad Razis Ismail


SYARIKAT korporat di negara ini menyahut panggilan untuk bersama-sama turun padang menghulurkan bantuan peralatan perlindungan kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang bertungkus-lumus memerangi wabak Covid-19 di negara ini.

Peruncit perkakas rumah terbesar, MR DIY tampil membantu Tabung Covid-19 dengan bersama-sama membiayai 35,000 peralatan perlindungan diri (PPE) dan sejuta topeng mulut dan hidung dibawa dari China ke Malaysia dengan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia 27 Mac lalu.

Pengarah Urusan MR DIY Group (M) Berhad, Adrian Ong berkata, pada masa sama pihaknya membeli 1,000 PPE tambahan untuk petugas kesihatan.

“Kami menyediakan pasukan sokongan logistik untuk membuat penghantaran peralatan itu kepada lebih 30 hospital di seluruh negara.

“Ia dilakukan dengan kerjasama tiga badan bukan kerajaan iaitu Mercy Malaysia, Pasukan Penyelamat dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imaret), Malaysian Relief Agency (MRA),” katanya.

Menurutnya, misi kemanusiaan ini inisiatif korporat membantu wira di barisan hadapan yang berperang dengan pandemik ini.

“Mereka ini sanggup berkorban masa dan mempertaruhkan nyawa untuk melindungi rakyat di negara ini.

“Jadi, sebagai syarikat korporat, kami terpanggil untuk membantu,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada pasukan MR DIY yang bekerja keras menyelaras pembelian barangan, logistik dan pengedaran kepada hospital, NGO dan perkhidmatan awam lain.

“Mereka secara sukarela tampil membantu untuk memenuhi keperluan petugas kesihatan. Harapan saya sumbangan ini memberi perlindungan kepada petugas barisan hadapan kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 6:15 AM