ROSMAN (tiga dari kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani bersama Presma.
ROSMAN (tiga dari kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani bersama Presma.

BANK Rakyat menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bagi memulakan langkah kerjasama strategik untuk memperoleh manfaat bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, kerjasama Bank Rakyat dengan persatuan berkenaan adalah platform yang baik bagi memanfaatkan kebolehan kedua-dua pihak terutama ketika negara dilanda penularan wabak Covid-19.

“Memandangkan operasi perniagaan tempatan khususnya dalam industri makanan dan minuman turut terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan, MoU ini membolehkan kami mengambil langkah awal yang diperlukan untuk menyokong 4,000 ahli Presma mendapatkan akses kepada Kemudahan Bantuan Khas (SRF) Bank Negara Malaysia serta Program Pembiayaan Khas Bank Rakyat (BizCare).

“Baru-baru ini, kami melancarkan kempen BizCare dengan peruntukan kemudahan pembiayaan bernilai RM300 juta untuk membantu usahawan mengekalkan kesinambungan perniagaan mereka dalam masa yang sukar ini.

“Kempen ini akan berlanjutan enam bulan sehingga 30 September depan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, kerjasama itu juga membolehkan kedua-dua pihak mewujudkan kerjasama erat antara perniagaan dengan institusi perbankan, sekali gus dapat meningkatkan promosi produk komersial dan runcit serta perkhidmatan Bank Rakyat kepada ahli PRESMA.

Beliau berkata, inisiatif ini juga sejajar dengan komitmen Bank Rakyat dalam membangunkan sistem perbankan Islam yang komprehensif yang akan menyumbang kepada proses pertumbuhan dan pembangunan komuniti, negara dan global.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 6:20 AM