MENARA Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
MENARA Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan dua pelantikan baharu pengurusan kanan dalam usaha memantapkan kepimpinan institusi itu.

TH dalam kenyataan hari ini berkata, dua individu berkenaan adalah Rozita Khamsiah Othman yang dilantik sebagai Setiausaha Lembaga dan Ahmad Shahriman Johari dilantik sebagai Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat.

Pelantikan Rozita berkuatkuasa pada 9 Mac lalu manakala Ahmad Shahriman berkuatkuasa pada 1 April.

Rozita sebelum ini berkhidmat sebagai Naib Presiden Kanan Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd selain berpengalaman luas sebagai penasihat undang-undang dalaman dan setiausaha syarikat berlesen dari pelbagai industri termasuk institusi kewangan kerajaan, pembinaan serta pembangunan hartanah.

Manakala Ahmad Shahriman pula sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Komunikasi Korporat di Sime Darby Property Berhad dan pernah memegang jawatan Ketua Pengarang Berita di New Straits Times (NST).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof berkata, pelantikan kedua-dua individu yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing adalah sebagai mengukuhkan kepimpinan profesional.

Beliau berkata, TH mengalu-alukan pelantikan itu dalam usaha menjadi sebuah institusi Islam dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 3:53 PM