Syarifah Dayana Syed Bakri


KIRA-KIRA 4.8 juta pekerja dijangka mendapat manfaat daripada Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau Prihatin Tambahan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, hari ini.

Pakej Prihatin Tambahan berjumlah RM10 bilion itu diumumkan bagi membantu meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia juga secara tidak langsung dapat menjamin dua pertiga daripada jumlah pekerja di negara ini terus mendapat pekerjaan.

Muhyiddin berkata, peruntukan bagi program subsidi upah yang diumumkan pada 27 Mac lalu akan dinaikkan daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

“Di bawah inisiatif tambahan ini, semua syarikat dengan pekerja tempatan yang bergaji RM4,000 dan ke bawah akan menerima bantuan subsidi upah antara RM600 hingga RM1,200.

“Bantuan ini adalah untuk tempoh tiga bulan dan dikhususkan kepada majikan yang telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya.

Selain itu, katanya kerajaan juga mewujudkan Geran Khas Prihatin berjumlah RM2.1 bilion bagi semua syarikat PKS mikro yang berkelayakan.

“Geran Khas sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro akan memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.

“PKS mikro perlulah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menikmati kemudahan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 5:11 PM
MUHYIDDIN mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) di Bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama
MUHYIDDIN mengumumkan Pakej Prihatin PKS (Tambahan) di Bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama