TESCO Malaysia  sedang berusaha mengisi lebih 600 peluang pekerjaan.
TESCO Malaysia sedang berusaha mengisi lebih 600 peluang pekerjaan.
Bisnes HM


TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd sedang berusaha mengisi lebih 600 peluang pekerjaan di dalam rantaian bekalannya, supaya dapat memenuhi peningkatan permintaan mendadak disebabkan pandemik Covid-19 dan juga sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitiri akan datang.

Ketua Sumber Manusia Tesco, Alvin Low berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan peningkatan mendadak dalam permintaan untuk produk makanan dan keperluan rumah.

“Di Tesco, kami bekerja sepanjang masa untuk membantu memastikan pelanggan mempunyai akses kepada barangan yang diperlukan.

“Untuk membantu kami menyahut permintaan yang mendadak ini, kami mengambil 600 pekerja baharu untuk bekerja di cawangan-cawangan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pekerja baharu ini akan ditempatkan di 60 cawangan kami di seluruh negara, serta perkhidmatan penghantaran atas talian kami, Tesco Online.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, terdapat peningkatan pesanan yang tinggi melalui Tesco Online dan kami memerlukan semua bantuan untuk memberi perkhidmatan sebaik mungkin kepada pelanggan,” katanya.

Alvin berkata, dengan kemasukan pekerja-pekerja baharu, rakan-rakan sekerja Tesco sedia ada akan dapat berehat secukupnya dan mencapai keseimbangan kehidupan dan kerja lebih baik pada masa mencabar ini.

Rakyat Malaysia berumur 18 hingga 60 tahun, dengan minimum Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) boleh memohon jawatan ini.

Bagi membuka peluang kepada semua yang memerlukan, Tesco juga mengalu-alukan mereka dari golongan kurang upaya (OKU) untuk memohon.

Kekosongan yang ada termasuklah Rakan Sekerja Cawangan, Juruwang, Picker dan Penghantar untuk Tesco Online.

Tiada pengalaman terdahulu diperlukan untuk jawatan sepenuh masa, sementara dan separuh masa di Tesco.

“Kami melancarkan kempen pengisian peluang pekerjaan kira-kira dua minggu lalu, dan sejak itu kami menerima beberapa permohonan. Kami berharap lebih banyak akan tampil ke hadapan untuk menyertai kami tidak lama lagi kerana kami telah menyelaraskan sistem pengambilan pekerja. Temuduga juga dilakukan melalui telefon agar calon tidak perlu melanggar PKP,” katanya.

Mereka yang berminat boleh menghantar e-mel kepada [email protected] atau hubungi Talian Perkhidmatan Pelanggan di 1300-13-1313.

Jika calon yang berminat tidak mempunyai akses kepada e-mel atau telefon, mereka boleh pergi ke mana-mana cawangan Tesco terdekat untuk meminta borang permohonan.

Untuk memastikan semua rakan sekerja sentiasa selamat, Tesco telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan termasuk pemeriksaan suhu badan setiap hari sebelum kerja, menyediakan topeng muka dan sabun pembasuh tangan.

Perlindungan insurans juga diberikan untuk pekerja yang bekerja sepenuh masa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 6:15 PM