AZRI percaya setiap perniagaan di Malaysia berpeluang memasarkan produk dan servis mereka kepada lebih ramai orang di dalam dan di luar negara berbanding sebelum ini.
AZRI percaya setiap perniagaan di Malaysia berpeluang memasarkan produk dan servis mereka kepada lebih ramai orang di dalam dan di luar negara berbanding sebelum ini.
Muhamaad Razis Ismail

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membasmi penularan wabak Covid-19 di negara ini memberi kesan kepada beberapa sektor. Pemilik jenama minuman HausBoom, Azri Zahier Azmi mengakui perkara itu kerana banyak perniagaan terjejas teruk apabila tidak dapat beroperasi seperti biasa.

"Perniagaan brick and mortar seperti pembuatan dan pengedaran minuman seperti kami sudah semestinya terjejas teruk apabila PKP ini dilaksanakan selepas jualan runcit di kedai serbaneka dan stesen minyak berkurangan kerana bilangan pelanggan turun mendadak.

"Biarpun mendapat kebenaran bersyarat untuk terus beroperasi, bilangan pekerja yang bertugas terpaksa dihadkan sehingga 50 peratus, sekali gus menyebabkan kekangan pengeluaran dan pengedaran produk syarikat.

"Bagaimanapun, kekangan yang dihadapi itu tidak mengehadkan operasi syarikat kepada tahap maksimum walaupun sebahagian besar daripada pasukan diarahkan untuk bekerja dari rumah," katanya.

Menurutnya, dengan menggunakan capaian teknologi sedia ada, semua perbincangan dan mesyuarat rasmi dijalankan secara dalam talian yang sebelum ini tidak pernah diamalkan oleh mereka.

"Selain itu, unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga sedang giat membangunkan produk baharu yang boleh diintegrasikan dengan platform e-dagang.

"Dengan pengalaman tenaga kerja yang celik teknologi, perubahan drastik ke platform digital ini tidaklah begitu asing dan boleh diterima dengan mudah dan cepat,” katanya.

Tambahnya, perubahan ini sebenarnya menyedarkan banyak pemilik syarikat untuk menganalisa perniagaan masing-masing dengan menyediakan strategi jualan, pengurusan, penjenamaan dan pemasaran secara digital dalam rancangan perniagaan masing-masing.

"Selain itu, saya jangkakan platform e-dagang akan menjadi lebih popular yang bukan hanya menawarkan produk fizikal malah akan dimeriahkan lagi dengan produk berasaskan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, kekangan hari ini hanyalah pada pergerakan secara fizikal rakyat Malaysia, tapi tidak berlaku kepada 'pergerakan digital' mereka.

"Ini bermakna, setiap perniagaan di Malaysia berpeluang untuk memasarkan produk dan servis mereka kepada lebih ramai orang di dalam dan di luar negara berbanding sebelum ini.

"Sepatutnya sistem bekerja dari rumah tidak memberikan banyak perbezaan kepada perjalanan syarikat dengan syarat, ahli pasukannya mempunyai integriti dan disiplin yang tinggi selain mampu meningkatkan kecekapan operasi sesebuah syarikat.

"Banyak syarikat berteraskan teknologi dan start-up sudah lama mengamalkan sistem bekerja dari rumah ini untuk meminima kos operasi mereka,” katanya.

Bagi mengharungi musim wabak yang tidak menentu ini, setiap pemilik perniagaan perlu kekal positif dan tidak perlu panik serta perlu percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya.

"Ini adalah masa yang terbaik untuk 'membersihkan' kitaran ekonomi secara amnya dan syarikat kita secara khususnya. Selepas ini, dalam setiap rancangan perniagaan kita, krisis seperti ini perlu disertakan dalam pelan pengurusan risiko," tambahnya lagi.

#KitaSapotKita: Edisi Bisnes dibawakan khas oleh Maxis Business.

Duduk di Rumah, Kekal Berhubung.

Cari Maxis YouTube untuk lebih banyak kisah dan panduan berniaga.

Image

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 8:12 AM