ORANG ramai berdiri di dalam setiap petak kuning disediakan Majlis Bandaraya Ipoh bagi memastikan penjarakan sosial di Pasar Awam Bercham, Ipoh, Perak, semalam.
ORANG ramai berdiri di dalam setiap petak kuning disediakan Majlis Bandaraya Ipoh bagi memastikan penjarakan sosial di Pasar Awam Bercham, Ipoh, Perak, semalam.

KERAJAAN meluluskan hampir 3,000 permohonan untuk Kemudahan Bantuan Khas (SRF) sehingga 12 April lalu bagi menyokong perniagaan ketika berhadapan situasi sukar disebabkan Covid-19.

Dalam Pakej Prihatin Tambahan diumumkan Perdana Menteri pada 6 April lalu, RM5 bilion diperuntukkan bagi SRF yang akan dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ketika membentangkan laporan status pelaksanaan Pakej Prihatin berkata, daripada jumlah itu, RM1.46 bilion atau 30 peratus peruntukan diberi kepada perniagaan yang layak mendapat SRF.

Mengenai program i-Lestari KWSP, beliau berkata, sehingga 12 April 2020, 1.28 juta permohonan diterima.

“Daripada jumlah itu, 1.17 juta permohonan diluluskan yang membabitkan pengeluaran RM572 juta pada Mei depan. Ini menunjukkan ramai rakyat dapat meringankan beban mereka dengan duit ini.

“Adalah dijangka jumlah ini meningkat dalam bulan akan datang,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, bagi inisiatif Subsidi Upah pula, kerajaan menerima permohonan daripada 31,000 majikan membabitkan 299,000 pekerja.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 98 peratus syarikat kecil dengan jumlah pekerja 75 dan ke bawah dengan anggaran implikasi RM307 juta.

Kerajaan memperuntukkan RM13.8 bilion bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui inisiatif Subsidi Upah itu.

“Bagi Program Mengekalkan Pekerja pula, 6,900 permohonan daripada majikan diterima untuk 47,000 pekerja membabitkan RM28.6 juta daripada RM120 juta yang diperuntukkan kerajaan untuk membiayai RM600 sebulan bagi pekerja yang cuti tanpa gaji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 7:34 AM