KAKITANGAN Santan yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
KAKITANGAN Santan yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

SYARIKAT makanan dan minuman (F&B) Santan yang juga jenama menu dalam penerbangan AirAsia membuka peluang kepada pekerja syarikat penerbangan itu yang terjejas akibat pandemik Covid-19 untuk menjadi penghantar makanan yang dihasilkan syarikatnya.

Pengurus Besar Santan, Catherine Goh berkata, setakat ini lebih 50 Allstars (kakitangan AirAsia) yang terdiri daripada kru penerbangan, juruterbang, ejen perkhidmatan darat serta mereka yang bekerja secara harian merebut peluang berkenaan dalam tempoh tidak dijangka ini.

“Dalam menempuhi keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kita perlu kekal kuat serta berani. Kakitangan Santan telah bekerja keras bagi memastikan makanan seperti nasi lemak Pak Nasser dan hidangan-hidangan lain dapat disediakan kepada semua sepanjang tempoh ini.

“Kami berharap dapat menyatukan rakyat Malaysia menerusi kasih sayang kita kepada makanan, sama ada semasa penyediaan atau penghantaran, kita semua #InThisTogether,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa ini, 70 peratus daripada perniagaan Santan adalah membabitkan perkhidmatan penghantaran, manakala selebihnya untuk bawa pulang.

Menurutnya, Santan yang dibuka secara rasmi pada Disember 2019 dijangka akan terus memperluas perkhidmatan seumpama itu dan makanan sejuk beku di samping memberi tumpuan untuk mempelbagaikan menu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 7:36 AM