NOTIS pemberitahuan ditampal di pagar Pasar Awam Taman Megah Seksyen SS24 yang ditutup sementara waktu susulan seorang peniaga positif Covid-19. FOTO Hairul Anuar Rahim
NOTIS pemberitahuan ditampal di pagar Pasar Awam Taman Megah Seksyen SS24 yang ditutup sementara waktu susulan seorang peniaga positif Covid-19. FOTO Hairul Anuar Rahim

LANGKAH membuka ekonomi dengan membenarkan industri beroperasi untuk memastikan ekonomi negara dapat berkembang dengan baik selepas mengalami kelembapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini kerana ada industri menutup sebahagian besar operasi pengeluaran.

Timbalan Pengarah Eksekutif, Pusat Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Azlan Shah Zaidi berkata, pemulihan ekonomi perlu dilakukan segera supaya kesan buruk akibat pelaksanaan PKP dapat dikurangkan.

"PKP menyebabkan pengeluaran barang dan perkhidmatan terjejas serta memberi kesan kepada kebanyakan rantaian barang dan perkhidmatan.

"Selain itu, ramai pengusaha dan pekerja hilang sumber pendapatan. Orang ramai kurang berbelanja akibat kurang pendapatan dan kekangan pergerakan.

"Pemberian kebenaran untuk beroperasi bagi syarikat ini amat dialu-alukan supaya kesan buruk kepada ekonomi dikurangkan dan ekonomi boleh bergerak lebih pantas selepas PKP berakhir," katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Katanya, usaha kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 tidak terjejas jika Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi semua syarikat yang dibenarkan beroperasi.

"Majikan dan pekerja perlu mementingkan kesihatan mereka terlebih dahulu dan sentiasa memikirkan kesan tindakan mereka terhadap pihak lain.

"Tahap kesihatan mereka sebenarnya memberi kesan kepada ekonomi negara. Jika mereka tidak sihat, mereka tidak perlu hadir bekerja.

"Jika mereka hadir dan didapati dijangkiti Covid-19, mereka menjejaskan kesihatan bukan saja diri mereka sendiri tetapi kesihatan rakan sekerja.

"Jika jangkitan berleluasa, syarikat tidak dapat beroperasi dan pengeluaran barang dan perkhidmatan pasti terjejas.

"Malah, kita bimbang kerajaan melaksanakan PKP lebih ketat jika SOP tidak dipatuhi yang pastinya menyebabkan ekonomi tidak dapat berkembang," katanya.

Semalam, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengumumkan kebenaran sektor ekonomi beroperasi pada kapasiti penuh dan tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing mulai hari ini.

Kebenaran itu diputuskan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) bersidang 27 April lalu bagi membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Syarikat yang diluluskan beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada Miti untuk mendapatkan kebenaran dan wajib mematuhi syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan bagi sektor masing-masing.

Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan dikenakan tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 7:25 AM