ROSLI. FOTO Arkib NSTP
ROSLI. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


PERSATUAN, Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputra Malaysia (PPIPBM) menggalakkan syarikat di negara ini mengambil perlindungan insurans bagi meringankan kos perubatan pekerjanya.

Timbalan Presidennya, Rosli Abd Shukor berkata, dalam situasi mencabar sekarang, syarikat tidak boleh terlalu bergantung dengan kerajaan untuk menanggung keseluruhan kos rawatan terutama pekerja didapati positif Covid-19.

"Situasi menang-menang perlu ada kerana jika syarikat besar mampu untuk menanggung kos rawatan pekerjanya tak salah untuk syarikat terbabit berbuat demikian.

"Namun, bagi syarikat kecil yang tidak mampu tanggung kos rawatan saya berpendapat kerajaan harus mempertimbangkan memberi diskaun atau membantu dari segi kemudahan lain.

"Sebab kita faham situasi dihadapi kerajaan sekarang dan musibah ini bukan salah siapa-siapa dan kita harus bantu atasi masalahnya bersama," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas mengenai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menetapkan syarikat perlu menanggung kos perubatan dan lain-lain jika pekerja mereka dijangkiti Covid-19.

Rosli berkata, kos melakukan saringan Covid-19 sahaja menelan belanja kira-kira RM700 dan bayangkan syarikat kecil yang tidak mampu menampung kos berkenaan dan ia belum lagi termasuk kos rawatan jika didapati positif.

Beliau berkata, kerajaan harus menyediakan garis panduan atau syarat supaya syarikat yang terbabit ini nanti mampu menghadapi situasi yang tak terjangka berlaku.

"Kos perubatan di hospital swasta sudah tentu lebih mahal berbanding hospital kerajaan.

"Justeru, waktu ini adalah masa untuk kita belajar daripada pengalaman sebab sekarang tidak boleh menyalahkan sesiapa dan jika syarikat tidak mampu kerajaan perlu bantu juga untuk memastikan kesejahteraan rakyat terjaga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 6:59 PM