MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.


KERAJAAN bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM120 juta untuk Program Pengekalan Pekerja (ERP) yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM240 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata,melalui program itu, kerajaan melalui Perkeso memberi sokongan sebanyak RM600 sebulan selama enam bulan kepada pekerja yang bercuti tanpa gaji.

Katanya, sebelum ini pada 16 Mac lalu, ERP telah diluluskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM120 juta.

"Sehingga hujung April, lebih 52,000 pekerja telah diterima dan diluluskan. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyokong kelangsungan perniagaan dan melindungi pekerjaan rakyat, khususnya dalam kita memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan untuk ERP sebanyak RM120 juta," katanya menerusi perkongsian laporan keempat pencapaian pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang disiarkan secara langsung di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sehingga 3 Mei lalu, pinjaman di bawah Dana Pinjaman Mudah PKS yang telah diluluskan oleh bank dan disetujuterima oleh PKS adalah berjumlah RM3 bilion membabitkan 6,840 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Majoriti jumlah ini adalah daripada Kemudahan Bantuan Khas (SRF) di mana PKS boleh memohon pembiayaan sebanyak RM1 juta dengan kadar faedah 3.5 peratus, di mana 80 peratus daripada jumlah pembiayaan dijamin.

"Alhamdulillah, sambutan untuk kemudahan ini amat menggalakkan dan saya berharap ia digunakan dengan penuh manfaat," katanya.

Tengku Zafrul berkata, bagi Skim Pinjaman Mikro Kredit, sehingga 29 April lalu,

RM132 juta daripada RM700 juta kredit mikro yang ditawarkan pada kadar faedah 0 peratus oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional telah diluluskan.

Daripada jumlah itu, BSN telah meluluskan RM90 juta kepada 2,000 PKS Mikro dan TEKUN telah meluluskan RM42 juta kepada 5,000 PKS Mikro.

"Bagi program Subsidi Upah, sehingga 3 Mei lalu, sebanyak RM1.9 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan 235,000 majikan membabitkan 1.7 juta pekerja.

"Ini adalah peningkatan daripada 195,000 majikan membabitkan 1.5 juta pekerja dalam laporan minggu lalu.

"Manakala, Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP KWSP), sehingga 1 Mei 2020, sebanyak 10,500 permohonan telah diterima oleh KWSP untuk mendapatkan bantuan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 3:25 PM