WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
WAN Junaidi Tuanku Jaafar. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menyifatkan kelonggaran sekatan pergerakan bukan saja membolehkan perniagaan menyambung semula aktiviti ekonomi dan menjana hasil, namun yang paling utama dapat menangani isu pemberhentian pekerja.

Malah, ia membantu menjamin kehidupan individu yang tidak perlu menunggu ihsan kerajaan untuk membeli dan mengagih makanan kepada rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya menyarankan usahawan mengambil peluang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membuka kembali perniagaan yang dibenarkan secara optimum.

"Namun kita semua perlu mengikut normal baharu dan memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan untuk keselamatan sendiri dan keluarga," katanya.

Menurutnya, ada peniaga kecil yang terpaksa akur menutup perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan ramai mengeluh kerana tidak ada pendapatan atau pendapatan terjejas.

"Syarikat tidak mampu membayar gaji pekerja lagi dan risiko menutup operasi manakala pekerja kehilangan pekerjaan.

"Persoalan besar ialah food on the table untuk ratusan ribu mereka (kumpulan ini) terjejas," katanya.

Katanya, pihaknya berharap rakyat boleh bekerjasama dan mendukung keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan PKPB.

"Kerajaan mengambil kira segala pertimbangan termasuk bersandarkan data, nasihat pakar dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pandangan Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO) sebelum membuat keputusan supaya PKPB dilakukan serentak di seluruh negara.

"Ia dilaksana untuk menyelamatkan ekonomi yang terjejas sepanjang pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu," katanya.

Menurutnya, kementerian turut meletakkan harapan agar PKPB dapat menyelamatkan ekonomi negara dan dalam masa sama mematuhi syarat ditetapkan.

"Rakyat boleh mencari rezeki namun dalam masa sama tidak menjejaskan usaha kerajaan dalam membendung penularan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 6:05 AM