ANTARA juadah Ramadan yang dijual di stesen Shell. FOTO ihsan Shell
ANTARA juadah Ramadan yang dijual di stesen Shell. FOTO ihsan Shell
Sri Ayu Kartika Amri


SHELL Malaysia, terus komited membantu komuniti tempatan menerusi inisiatif #RamadanWithShell bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin menjual makanan istimewa mereka di stesen minyaknya.

Inisiatif ini untuk menyokong vendor makanan kecil dengan menyediakan mereka tempat memasarkan produk terutama dalam situasi mencabar ini.

Bermula 4 hingga 23 Mei ini, pelanggan sudah boleh membeli juadah Ramadan seperti nasi campur, nasi beriani, asam laksa serta pelbagai lagi produk di 950 stesen Shell di seluruh negara.

Pengarh Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani berkata, di Shell keutamaannya adalah pelanggan.

"Dalam keadaan negara berdepan dengan Covid-19, kami perlu terus membantu serta memberi nilai kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Inisiatif baharu kami ini membolehkan rakyat Malaysia meneruskan perniagaan mereka.

"Kami mahu menawarkan pelanggan Shell juadah Ramadan untuk berbuka puasa dengan cepat dan mudah bukan sahaja boleh didapatkan di stesen Shell, malah melalui penghantaran foodpanda," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pihaknya percaya usaha ini dapat memberi sedikit perubahan kepada orang ramai.

Selain daripada pek Ramadan, pelanggan juga boleh mendapatkan kombo snak dan minuman kegemaran dengan Shell Select dan deli2go serendah RM6.

Peruncit stesen Shell, Siti Zubaidah dari Pontian, Johor turut mempelawa pengusaha kuih di kawasannya untuk menyertai #RamadanWithShell.

"Apabila saya mendapat tahu mengenai inisiatif ini, saya terus teringat Azizah bagi menjual kuih-muihnya di sini.

"Kuih yang dijual Azizah lazat dan saya teruja membantu menyediakan platform kepadanya untuk menjual juadah Ramadan," katanya.

Sementara itu, vendor separuh masa, Mazlan dan anak lelakinya, Mohd Alif, 14, juga bersyukur dengan inisiatif yang dilaksanakan Shell.

"Pada mulanya, kami risau Ramadan tahun ini tidak boleh berniaga sebab setiap tahun kami menjual air tebu di bazar.

"Syukur selepas menyertai inisiatif Shell, kami berjaya menjual 30 ke 40 botol air tebu sehari di stesen Shell Inderapura Kuantan, Pahang," katanya.

Shell berkata, Azizah, Mazlan dan anak lelakinya adalah antara vendor yang menyertai kempen #RamadanWithShell di seluruh negara yang menjual makanan mereka sehingga 23 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 1:44 PM