Sri Ayu Kartika Amri

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dan agensi di bawahnya meneruskan usaha membantu usahawan dengan memastikan tempoh permohonan dan mendapatkan kelulusan pembiayaan dipendekkan sehingga lebih 75 peratus.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif memudah cara permohonan, menambah baik tempoh proses dan kelulusan pembiayaan ini supaya dana lebih cepat disalurkan kepada usahawan memerlukan.

"Semua usaha ini berjaya dilakukan dalam tempoh tiga minggu sahaja selepas saya mengarahkan Ketua Setiausaha untuk menjalankan kajian bagi meneliti semula proses berkaitan.

"Antara inisiatifnya ialah menerusi Pemulihan Perniagaan Mikro Covid (CBRM) oleh Tekun Nasional yang kini hanya memerlukan empat dokumen sokongan sahaja berbanding 17 dokumen sokongan sebelum ini.

"Dokumen berkenaan adalah salinan sijil pendaftaran syarikat atau lesen perniagaan, salinan kad pengenalan, salinan penyata bank dan salinan bil utiliti.

MEDAC dan agensi di bawahnya meneruskan usaha bantu usahawan.
MEDAC dan agensi di bawahnya meneruskan usaha bantu usahawan.

"Bagi kemudahan Bantuan Khas (SRF) oleh SME Bank dan Bank Rakyat, proses permohonan SRF dipendekkan kepada lima hari sahaja berbanding 30 hari (SME Bank) dan 21 hari (Bank Rakyat).

"Selain itu, untuk Skim Pembiayaan Francaisor, Pra Francais dan Francaisi oleh Perbadanan Nasional Berhad, proses permohonan dipendekkan kepada 10 hari sahaja berbanding 14 hari," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan wang tunai RM12,000 oleh Bank Rakyat dengan kerjasama Surau Al Barakah, TV3 dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) kepada bekas atlet negara.

Dr Wan Junaidi berkata, perhatian khusus perlu diberikan bagi memastikan usahawan mendapat sokongan sewajarnya daripada kerajaan supaya ia dapat beroperasi seperti biasa.

DR Wan Junaidi. FOTO Amirudin Sahib
DR Wan Junaidi. FOTO Amirudin Sahib

Beliau berkata, penting untuk proses dan prosedur dipermudahkan serta ditambahbaik supaya akses kepada kemudahan kewangan atau perkhidmatan lebih cepat diterima dan akhirnya menghasilkan impak yang positif.

"Keberhasilan kepada usaha terbabit akan memberikan keuntungan kepada negara dan pada masa yang sama memberikan faedah serta membantu rakyat," katanya.

Sementara itu, audit pematuhan program Protege-Ready To Work (RTW) bagi tempoh lawatan diminimumkan kepada sehari berbanding tiga hari.

Seterusnya, proses permohonan pengeluaran Penuh Simpanan Usahawan oleh Tekun Nasional dipendekkan kepada dua hari berbanding tujuh hari sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 7:01 AM