X
AZRUL anggap usahawan perlu segera mengadaptasi perubahan pasaran terkini.
AZRUL anggap usahawan perlu segera mengadaptasi perubahan pasaran terkini.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


PANDEMIK Covid-19 perlu dilihat sebagai satu peluang baharu untuk meneroka pasaran digital secara meluas.

Presiden Persatuan Usahawan Internet Malaysia (Puim), Mohd Azrul Mohd Nor berkata, hakikatnya memang ramai usahawan terjejas akibat penularan Covid-19 sehingga ada yang terpaksa menutup perniagaan mereka.

Namun, katanya, dalam situasi sekarang terutama dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perniagaan dalam talian sudah menjadi pilihan utama dan kelaziman baharu.

"Secara keseluruhan, perniagaan dalam talian lebih baik kerana ketika Covid-19 ini ramai tidak boleh keluar rumah, jadi pengguna, peniaga dan rantaian perniagaan terpaksa menggunakan kaedah ini sepenuhnya.

"Perubahan ketara yang dilihat usahawan mula menukar model perniagaan mereka mengikut keperluan persekitaran pasaran dan kesesuaian semasa.

"Oleh itu, usahawan perlu segera mengadaptasi perubahan pasaran terkini supaya tidak ketinggalan dan bersama-sama merebut peluang ekonomi yang ada," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, dengan melaksanakan langkah prosedur operasi standard (SOP) yang betul, perniagaan boleh dijalankan tanpa sebarang masalah.

"Kami memahami ada perniagaan yang tidak boleh dibuat sepanjang PKPB ini contohnya perkhidmatan potong rambut namun terlalu awal untuk kita menilai perniagaan sebagai tidak valid dalam situasi sekarang," katanya.

Mohd Azrul berkata, melangkah ke hadapan Puim akan memfokus kepada pendidikan pemasaran dan ekosistem digital.

Selain itu, pihaknya membantu usahawan daripada peringkat awal untuk pemilihan, cara pemasaran dan mengembangkan produk.

Beliau berkata, Puim bekerjasama dengan Sirim untuk mewujudkan ekosistem digital secara holistik bermula daripada pemborong, pengumpulan dan penghantaran.

"Sehingga kini, Puim mempunyai hampir 25,000 ahli di seluruh negara dan kami sentiasa berusaha untuk membantu usahawan menerusi kelas pemasaran dalam talian atau webinar bagi memahami penggunaan e-pasaran, e-dompet dan e-bayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 7:01 AM