Datuk Abdul Rahman Ahmad
Datuk Abdul Rahman Ahmad


CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif CIMB dan CIMB Bank bagi menggantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Pelantikannya berkuat kuasa 10 Jun ini.

Abdul Rahman ketika ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Sime Darby Berhad dan Velesto Energy Berhad.

Pengerusi CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan kehadiran Abdul Rahman yang berpengalaman luas dalam kepimpinan strategik dan pelaksanaan.

"Dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam pelbagai bidang, beliau menunjukkan prestasi yang baik dalam transformasi organisasi, mendorong hasil, mengukuhkan risiko operasi

dan kepatuhan, serta inovasi di tengah landskap yang berkembang pesat.

"Ketika industri mengalami perubahan dasar, beliau membawa perspektif baru untuk memimpin transformasi berterusan CIMB

dan membina francais ASEAN yang berjaya," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Abdul Rahman memulakan kerjaya di Arthur Andersen, London dan bekerja di Trenergy (M) Berhad/Turnaround Managers Inc (M) Sdn Bhd dan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB) dan kemudiannya memegang jawatan sama untuk Media Prima Berhad.

Beliau juga membantu menubuhkan Ekuiti Nasional Berhad dan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif selama tujuh tahun sebelum dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada 2016.

Beliau memegang Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Cambridge University, United Kingdom, dan juga ahli Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 8:07 PM