PENGUSAHA mula menaik taraf keupayaan teknologi.
PENGUSAHA mula menaik taraf keupayaan teknologi.

PENERAJU perniagaan di Malaysia terpaksa memanfaatkan kelebihan teknologi dan pendigitalan untuk pulih dan berkembang dalam normal baharu, menurut Ernst & Young PLT (EY).

Kajian impak perniagaan Covid-19 oleh EY, yang dijalankan pada 27 April hingga 19 Mei, mendapati perniagaan mempercepatkan penggunaan teknologi sebagai respons kepada sekatan kerana Covid-19.

Sejumlah 37 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta 32 peratus syarikat besar dan tersenarai mengambil langkah mengembangkan atau menaik taraf keupayaan teknologi mereka, kata EY berdasarkan kajian dalam talian yang meliputi hampir 700 firma besar termasuk PKS.

"Hampir 30 peratus syarikat melabur dalam perkakasan Kerja Dari Rumah bagi membolehkan pekerja mereka terus menyumbangkan produktiviti," katanya.

Rakan Kongsi Pengurusan EY Malaysia, Datuk Abdul Rauf Rashid berkata, Covid-19 menjadi penentu mendorong perniagaan melaksanakan transformasi digital.

"Sebelum ini, banyak inisiatif memujuk syarikat untuk beralih ke arah pendigitalan mendapat sambutan dingin terutama daripada PKS, Covid-19 memaksa mereka berubah," katanya.

Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendedahkan bahawa perniagaan di Malaysia tidak mempunyai persediaan yang mencukupi untuk beralih kepada persekitaran kerja yang lebih didayakan digital.

"Ketika PKP, kebanyakan syarikat (83 peratus syarikat besar dan tersenarai; 84 peratus PKS) mengalami masalah dengan sambungan dalam talian termasuk komunikasi dengan pembekal dan pelanggan mereka, di samping isu dengan infrastruktur," katanya.

Syarikat ini perlu meningkatkan lagi transformasi digital mereka dan mengguna pakai proses serta sistem teknologi dalam persediaan untuk persekitaran lebih digital dalam normal baharu ini.

Dalam pada itu, Ketua Perundingan Perkhidmatan Kewangan Malaysia, EY Advisory Services Sdn Bhd, Shankar Kanabiran berkata, bagi menyokong permintaan serta membolehkan transformasi digital, perlu ada peningkatan yang ketara ke atas infrastruktur digital dan komunikasi negara, khususnya dalam sambungan talian dan kelajuan jalur lebar.

Katanya, kira-kira 40 peratus responden mengenal pasti sambungan dalam talian yang lebih baik dan lebih murah sebagai cabaran yang perlu ditangani.

Menurutnya, hampir separuh daripada syarikat besar dan 40 peratus PKS mengatakan mereka memerlukan bantuan kerajaan secara langsung pada masa hadapan untuk memulihkan kekuatan kewangan dan kecairan dalam penyediaan pemulihan ekonomi.

"Bantuan kewangan, geran teknologi, insentif, pengecualian cukai, pengurangan pematuhan cukai, kadar faedah yang lebih rendah serta perlanjutan moratorium ke atas pembayaran balik pokok adalah antara beberapa langkah yang diperlukan perniagaan. Mereka juga meminta fleksibiliti yang lebih besar daripada pihak bank sebagai bantuan untuk perniagaan yang terjejas oleh krisis kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:30 AM