X
 Datuk Dr Othman Omar
Datuk Dr Othman Omar


LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus melaksanakan semua projek serta merancakkan semula aktiviti ekonomi melalui peruntukan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai lebih RM286 juta.

Sebanyak 463 projek bagi kesemua 11 wilayah FELDA akan dilaksanakan mengikut kaedah-kaedah perolehan yang sewajarnya meliputi projek menaik taraf cerun dan tanah runtuh; projek menaik taraf infrastruktur komuniti; projek menaik taraf sistem perparitan, longkang dan pembentungan dan projek menaik taraf jalan raya.

Selain itu, ia juga membabitkan projek menaik taraf pusat transit baja; projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF); projek menaik taraf dan selenggara rumah petugas FELDA dan projek membaik pulih kawasan tanah runtuh di Loji Rawatan Air FELDA Umas, Sabah.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar berkata, hari ini dan esok, FELDA melaksanakan sesi undian kerja bagi projek yang dinyatakan.

"Pelaksanaan undian ini adalah berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia: PK2.2 Kaedah Pelaksanaan Perolehan/Projek Kerajaan Tahun 2020 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia dan berkuat kuasa pada 23 April 2020.

"Sesi undian yang diadakan hari ini dan esok bertujuan menganugerahkan projek-projek infrastruktur yang bakal memberi manfaat secara terus kepada warga peneroka.

"Besar harapan saya agar semua kontraktor yang berjaya akan melaksanakan kerja

dengan penuh amanah kerana duit yang disalurkan ini serta projek-projek yang

diluluskan ini mempunyai nilai jauh lebih besar kepada warga peneroka," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur sempena proses cabutan undi hari ini.

Menurutnya, cabutan undian 143 projek yang dijalankan hari ini dilaksanakan tanpa kehadiran kontraktor, namun bagi memastikan ketelusan dan integriti yang tinggi, FELDA memancarkan proses undian ini melalui Facebook Live supaya tiada isu atau sebarang keraguan timbul kelak.

"Kontraktor yang mengambil bahagian perlu mempunyai keupayaan untuk melaksanakan projek dari segi pekerja, kemahiran teknikal dan kemudahan peralatan kerja.

"Jangan khianati warga peneroka dan kerajaan, sebaliknya hargai usaha, keprihatinan dan peluang yang diberi kerajaan dalam membeningkan situasi ekonomi yang kelam dan sukar kini dengan menjalankan kerja dengan cemerlang.

"Kami juga akan memantau rapat kerja-kerja yang dijalankan untuk memastikan ia

dijalankan dalam tempoh yang ditetapkan dengan kualiti terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:46 PM