X
PELAN pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana bantu syarikat kembali ke paras pengeluaran dan pekerjaan pada prakrisis secara pantas dan selamat.
PELAN pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana bantu syarikat kembali ke paras pengeluaran dan pekerjaan pada prakrisis secara pantas dan selamat.
Mahanum Abdul Aziz

BANK Dunia menjangka pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini akan menggariskan kaedah membantu syarikat kembali ke paras pengeluaran dan pekerjaan pada prakrisis secara pantas dan selamat.

Pengarah Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Firas Raad berkata, pendekatan itu akan membabitkan peningkatan permintaan menerusi pelaburan awam baharu dan membantu firma menyambung semula kepada rantaian bekalan dan pasaran global terutama syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, penting untuk meningkatkan akses kepada kemudahan kredit untuk PKS dan menjadikan ia lebih mudah kepada mereka menggunakan pelbagai perkhidmatan kewangan digital.

"Untuk jangka panjang, kerajaan perlu bekerjasama dengan sektor swasta untuk meningkatkan pengukuhan perniagaan secara keseluruhan, kadar penggunaan digital dan kapasiti inovasi," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai inisiatif yang boleh diberi tumpuan dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana.

Mengenai isi rumah dan pekerjaan, Dr Firas berkata, penting untuk pelan berkenaan mempertimbangkan subsidi upah bersyarat bagi menjamin pengekalan dan pengwujudan pekerjaan sambil memperluas sokongan pendapatan untuk B40 melalui program Bantuan Sara Hidup (BSH).

Beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk mengaktifkan perkhidmatan pekerjaan yang lebih sesuai dengan padanan pekerja dengan pekerjaan dan memperkukuhkan program yang menawarkan peluang kemahiran baharu dalam bidang yang mana permintaan dijangka meningkat ketika pemulihan seperti kemahiran digital dan kemahiran sosio-emosi.

Sementara itu, Firas berkata, walaupun Malaysia mempunyai ruang fiskal yang terhad, kerajaan negara ini mempunyai pilihan termasuk memperuntukkan semula komitmen pembiayaan semasa, meninjau pendapatan baharu seperti dividen tambahan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan opsyen meminjam lagi dengan mempunyai defisit yang besar.

Beliau berkata, sementara Malaysia berdepan krisis Covid-19 dengan sektor perbankan kukuh, pasaran modal yang mendalam dan kos kewangan yang sangat rendah, negara ini dibatasi oleh peraturan fiskal sendiri yang menetapkan had jumlah pinjaman (termasuk siling hutang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar) serta peraturan utama yang menghendaki pinjaman hanya digunakan untuk membiayai pelaburan.

Bagaimanapun, katanya, kelayakan kredit jangka sederhana Malaysia mungkin lebih baik dengan memastikan pemulihan pantas dan mapan daripada krisis menerusi perbelanjaan ketika ini untuk memelihara struktur ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 7:40 AM