PELBAGAI program peningkatan kemahiran melalui Penjana dilaksana untuk  memelihara kapasiti tenaga kerja.
PELBAGAI program peningkatan kemahiran melalui Penjana dilaksana untuk memelihara kapasiti tenaga kerja.
Syarifah Dayana Syed Bakri


LANGKAH digariskan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dijangka membantu membendung kadar pengangguran.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada lima peratus pada April disebabkan penutupan pelbagai sektor ekonomi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Katanya, kadar pengangguran terkini di Filipina 17.7 peratus, India 23.5 peratus, Amerika Syarikat 13.3 peratus, China 5.9 peratus dan Eropah mengalami kadar pengangguran dua angka.

"Walaupun kadar pengangguran Malaysia dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang, langkah di bawah pakej Prihatin dan Penjana disasarkan dapat membendung kadar pengangguran.

"Malahan, melalui program subsidi upah, setakat ini 2.4 juta pekerjaan diselamatkan. Manakala melalui program subsidi upah dipertingkatkan di bawah Penjana, majikan boleh memohon subsidi upah untuk pekerja mereka yang diberi cuti tanpa gaji mulai 15 Jun lalu.

"Dengan usaha ini, diganding dengan pembukaan hampir semua sektor ekonomi, kerajaan menyasarkan kadar bertambah baik terutamanya suku ketiga dan keempat tahun ini," katanya dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Prihatin dan Penjana di Facebook, semalam.

Menurutnya, pelbagai program peningkatan kemahiran melalui Penjana dilaksana untuk memelihara kapasiti tenaga kerja supaya sektor perniagaan berkembang dengan kadar segera apabila ekonomi kembali pulih.

"Di bawah Penjana, RM2 bilion diperuntukkan untuk program peningkatan kemahiran belia dan penganggur, selain keutamaan diberi kepada sektor elektrik dan elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi.

"Inisiatif ini diharap memanfaatkan lebih daripada 200,000 individu," katanya.

Sementara itu, menurutnya Penjana yang bermula bulan ini menggariskan beberapa penambahbaikan termasuk program subsidi upah ditambah baik dengan peruntukan RM5.3 bilion.

Selain itu, ia menggariskan inisiatif internet percuma satu gigabait (GB) berjumlah RM3 bilion bagi menggalakkan aktiviti pendidikan dan produktiviti, selain pas pengangkutan My30 dengan peruntukan RM200 juta yang sudah dimulakan.

"Sokongan sektor pertanian dan pemakanan bernilai RM400 juta untuk pelbagai inisiatif seperti pembiayaan, peningkatan mobiliti pekerja dan usaha pertanian bandar atau urban farming dimulakan.

"Pasukan Laksana bersama dengan kementerian dan agensi pelaksana giat memastikan soalan lazim, cara permohonan dan kelayakan inisiatif disalur dengan baik agar penerima dapat mengakses bantuan itu.

"Insya-Allah, status pencapaian mula dikongsi selepas usaha pelaksanaan bermula secara berperingkat dalam masa terdekat," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:54 AM