TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Bisnes HM


KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus kepada 1.75 peratus mampu merangsang ekonomi dengan mewujudkan pekerjaan, mengembalikan keyakinan pengguna dan pelabur, serta

membendung kemungkinan penguncupan ekonomi yang mendadak.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, keputusan itu didorong oleh keadaan ekonomi global yang masih di awal tahap pemulihan.

"Berdasarkan jangkaan pelbagai agensi, seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), lebih 150 dari 195 negara di seluruh dunia dijangka merekodkan penguncupan ekonomi pada tahun 2020.

"Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk menurunkan kadar OPR ternyata bertujuan untuk mempercepat kadar pemulihan dan seterusnya merangsang ekonomi negara," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kerajaan percaya bahawa keputusan ini, digabung dengan langkah-langkah proaktif yang diperkenalkan sejak Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Prihatin PKS+, serta Pelan Jana

Semula Ekonomi Negara (Penjana) mampu merangsang ekonomi negara.

"Sehingga 7 Julai, pakej-pakej rangsangan yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion berjaya memanfaatkan sekitar 800,000 perniagaan dan menyelamatkan kira-kira 2.6 juta pekerjaan.

"Tiga hingga enam bulan akan datang adalah tempoh yang penting bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Penjana yang dijangka membuahkan hasil menjelang suku ketiga atau keempat 2020," katanya.

Tengku Zafrul berkata, pemulihan ekonomi Malaysia juga tertakluk kepada usahasama semua pihak

termasuk syarikat-syarikat korporat, PKS, peniaga dan pengguna terutamanya bagi memastikan nyawa dan kehidupan rakyat dilindungi, serta ekonomi diperkukuh.

"Di samping itu, ekonomi Malaysia juga dijangka bertambah baik selari pemulihan ekonomi dan perdagangan dunia yang dijangka berlaku pada 2021.

"Malaysia juga telah membuktikan daya ketahanannya dalam menangani pelbagai cabaran, termasuk Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global, berteraskan asas ekonomi kukuh dan kerangka institusi yang baik serta pasaran modal dan kewangan mantap," katanya.

Katanya, kerajaan akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan agar ekosistem kewangan dan pelaburan Malaysia sentiasa bersedia

untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dalam jangka masa pendek dan sederhana bagi terus menjamin kemampanan dan ketahanan ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 8:35 PM