REKOD TM sepanjang tempoh PKP menunjukkan penggunaan internet oleh pelanggannya secara purata meningkat 40 peratus.
REKOD TM sepanjang tempoh PKP menunjukkan penggunaan internet oleh pelanggannya secara purata meningkat 40 peratus.
Oleh Rosyahaida Abdullah


TELEKOM Malaysia Berhad (TM) menjangkakan prestasi kewangan lebih baik dicatatkan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 berbanding suku sebelumnya dipacu penggunaan Internet pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kekal tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, rekod TM sepanjang tempoh PKP menunjukkan penggunaan Internet oleh pelanggannya secara purata meningkat 40 peratus dan situasi berkenaan didapati berterusan ketika tempoh PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, ia secara tidak langsung memberi gambaran jelas mengenai corak penggunaan Internet yang meningkat dalam kalangan pengguna malah angka langganan baharu dicatatkan selepas PKP juga baik dan meyakinkan.

"Kami tidak terima lebihan (pulangan) sewaktu PKP termasuk untuk beberapa pakej (tawaran) buat prabayar atau hotspot apabila pelanggan menggunakan Internet sepanjang tempoh itu (PKP) tanpa caj ekstra.

"Namun, corak penggunaan tinggi ini mewujudkan tingkah laku baharu dalam kalangan pelanggan apabila sejurus PKP tamat, mereka kekal menggunakan Internet lebih banyak berbanding sebelum PKP, jadi kami caj untuk lebihan data ini.

"Realitinya, angka langganan baharu selepas PKP juga baik malah ada pelanggan kembali kepada TM sedangkan sebelum ini mereka memilih beralih ke Internet mudah alih kerana menganggap mereka tidak begitu menggunakan Internet di rumah," katanya dalam temubual di Pusat Konvensyen TM di sini.

Katanya, beliau mengakui prestasi kewangan TM pada suku pertama tahun ini rendah dan melihat pelaksanaan PKP yang bermula pada pertengahan Mac sebagai antara faktor yang menyebabkan keadaan ini berlaku.

"Keputusan kewangan suku kedua (2020) belum diketahui, sedang dikumpul dan diaudit. Insya-Allah, dikongsi pada akhir bulan depan, tetapi saya fikir ia lebih baik (berbanding suku pertama)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Kumpulan TM, Tengku Muneer Tengku Muzani yang turut hadir pada sesi temubual itu berkata, penggunaan aplikasi dalam talian naik mendadak sewaktu dan selepas PKP.

Malah katanya, sesetengah kawasan juga merekodkan kenaikan kapasiti penggunaan Internet sehingga 60 peratus sepanjang PKP.

"Kini kami menyaksikan pertambahan jumlah pelanggan untuk Internet berkapasiti 300 Mbps. Saya fikir pengguna mulai sedar keperluan jalur lebar di rumah dengan kapasiti Internet lebih tinggi.

"Kita boleh lihat penurunan dalam penggunaan prabayar apabila majoriti memilih pascabayar namun masalahnya adalah data internet tidak mencukupi.

"Dalam hal ini, pada kami, kesalinghubungan bukan sesuatu yang baik untuk dimiliki tapi mesti dimiliki, begitu juga kapasiti Internet yang tinggi.

"PKP mengubah pengguna ke arah itu apabila kami menerima angka besar bagi langganan baharu dan sangat meyakinkan. Saya tidak menyentuh soal suku kedua tetapi ia kelihatan baik," katanya.

TM pada Mei lalu mengumumkan penurunan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) sebanyak 50.5 peratus kepada RM152.5 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020 berbanding RM308.3 juta pada suku pertama 2019.

Perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kumpulan pada suku dikaji juga susut 35.4 peratus kepada RM326.1 juta berbanding RM504.8 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:00 AM