X
Sri Ayu Kartika Amri


PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mempelawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan Geran Automasi Pintar (SAG) bernilai RM100 juta untuk mendorong usaha pendigitalan perniagaan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, SAG dibuka kepada PKS sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membantu mereka.

Katanya, antara perniagaan PKS sektor perkhidmatan yang layak termasuk peruncitan, pemborong, makanan dan minuman, pelancongan, logistik, pengangkutan, pendidikan, penjagaan kesihatan, hartanah dan perkhidmatan kewangan profesional.

"Sebenarnya, banyak perniagaan lain juga bercadang untuk beroperasi secara digital dalam usaha untuk mengatasi cabaran yang menjejaskan operasi dan pendapatan masing-masing.

"Pengenalan SAG ini tepat pada masanya untuk perniagaan kerana pada situasi ini mereka memerlukan sokongan kerajaan untuk melakukan lonjakan digital bagi berdepan Revolusi Industri 4.0," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, SAG yang ditawarkan merangkumi 50 peratus daripada kos projek atau hingga had pemberian maksimum RM200,000 namun ia bergantung kepada nilai mana yang lebih rendah.

Beliau berkata, PKS juga mesti mematuhi syarat tempoh masa projek iaitu satu hingga tiga bulan.

"Berdasarkan prinsip geran padanan, permohonan yang berjaya perlu menyediakan baki 50 peratus kos projek.

"Selepas memenuhi syarat, PKS terbabit perlu menunjukkan rekod perniagaan untuk proses kelulusan segera kepada jawatankuasa penilai yang akan membuat keputusan pada hari sama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendigitalan Perniagaan MDEC, Muhundhan Kamarapullai berkata, pendigitalan perniagaan adalah langkah penting untuk meneruskan kelangsungan syarikat di era normal baharu ini.

"Menerusi MDEC, pelbagai inisiatif sudah diperkenalkan dalam segmen e-dagang, ekonomi gig, pembangunan modal insan dan perkembangan PKS.

"Usaha ini menekankan kepentingan pemerkasaan tenaga kerja dan perniagaan menerusi usaha Transformasi Pendigitalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 7:00 AM