X
TAN
TAN
Rosyahaida Abdullah


PERSATUAN Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) memohon kerajaan mempertimbang melanjutkan tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan lagi khusus bagi industri pelancongan di negara ini.

Presiden Matta, Datuk Tan Kok Liang berkata, industri pelancongan antara paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19, malah kemerosotan pendapatan dapat dilihat dalam kalangan pemain industri sejak Mac lalu.

Disebabkan itu, katanya, industri itu perlu menyusun semula struktur ekonominya apa lagi jika perniagaan berdepan kerugian teruk dengan potensi masalah muflis oleh pekerja menjelang awal tahun depan.

"Kajian menunjukkan ekonomi industri pelancongan akan pulih jauh lebih perlahan berbanding sektor lain di Malaysia.

"Dengan kemelesetan ekonomi dan masalah pengangguran, tentunya kebergantungan sepenuhnya kepada pelancongan domestik tidak mencukupi untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan serta individu yang bekerja dalam industri ini.

"Justeru, diharap dengan mengambil kira industri pelancongan sebagai penyedia peluang pekerjaan serta penyumbang ekonomi yang penting buat negara, kerajaan dapat mempertimbangkan lanjutan moratorium pinjaman enam bulan lagi," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Tan berkata, pemain industri kini bergelut untuk membayar pinjaman disebabkan kekangan peraturan serta permintaan yang lemah.

"Kebanyakan perniagaan berasaskan pelancongan memperoleh sebahagian besar pendapatan mereka daripada pelancong asing.

"Dalam hal ini, bagaimana mereka boleh bertahan jika sempadan terus ditutup? Jika sempadan tidak dibuka, tiada kewajaran lain untuk kami bangkitkan selain daripada memohon kerajaan mengeluarkan arahan lanjutan tempoh moratorium.

"Pada kami, ini juga lebih berkesan berbanding pemain industri sendiri melakukan permohonan di bank masing-masing yang berkemungkinan akan ditolak terutamanya selepas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) membuat pengumuman pada 6 Julai lalu bahawa industri pelancongan boleh mengambil masa empat tahun untuk pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 7:15 AM