PEMASANGAN panel solar PV adalah fasa pertama dalam usaha tenaga boleh diperbaharui Tesco.
PEMASANGAN panel solar PV adalah fasa pertama dalam usaha tenaga boleh diperbaharui Tesco.

TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) dan NE Suria Satu Sdn Bhd (NESS), syarikat usaha sama antara Petronas dan NEFIN Group (Tesco-NESS PPA) menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) jangka panjang untuk tenaga solar di Malaysia.

Fasa pertama perjanjian ini menyaksikan pemasangan panel solar photovoltaic (PV) di ruang bumbung 15 cawangan Tesco di seluruh negara.

Perjanjian ini membabitkan tempoh selama 20 tahun sehingga 2040.

Selepas ia siap dipasang pada Oktober 2020, panel solar itu akan menjana kira-kira 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun yang mengurangkan sekitar 13,624 tan pelepasan karbon ke atmosfera.

Tenaga yang dihasilkan dari panel solar PV itu juga dapat menerangi sebanyak 104 stadium bersaiz Olimpik secara serentak atau 804,905 rumah tiga bilik tidur selama satu tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie berkata, pemasangan panel solar PV di 15 daripada 62 cawangannya itu adalah fasa pertama dalam usaha tenaga boleh diperbaharui Tesco.

"Ini adalah antara usaha berterusan kami untuk kelestarian alam sekitar, termasuk mengukur dan menerbitkan data sisa makanan kami dan pengurangan penggunaan beg plastik sekali pakai di cawangan kami," katanya.

Sementara itu, Pengarah NESS dan Ketua bahagian Tenaga Baharu Petronas, Dr Jay Mariyappan berkata, NESS akan melabur sepenuhnya dalam projek panel solar PV di semua 15 cawangan Tesco termasuk reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem solar PV.

"Dengan kemampuan kolektif Petronas dan NEFIN, kami yakin untuk menyokong Tesco dalam merealisasikan matlamat kelestarian yang akhirnya akan memberi manfaat kepada kita semua," katanya.

Cawangan yang akan dilengkapi dengan panel solar PV ialah Tesco Mergong, Tesco Sungai Petani Selatan, Tesco Bukit Mertajam, Tesco Rawang, Tesco Ipoh, Tesco Station 18, Tesco Klang, Tesco Puchong, Tesco Bukit Puchong, Tesco Extra Seremban Jaya, Tesco Kulim, Tesco Stargate, Tesco Seberang Jaya, Tesco Jitra dan Tesco Kampar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:10 AM