X
PENGUNJUNG melihat beberapa koleksi edisi terhad keluaran Petak Holdings Sdn Bhd di Butik Petak di Malakat Mall, Cyberjaya.
PENGUNJUNG melihat beberapa koleksi edisi terhad keluaran Petak Holdings Sdn Bhd di Butik Petak di Malakat Mall, Cyberjaya.

PETAK Holding Sdn Bhd, merancang meluaskan perniagaanya dengan membuka Butik Petak di Johor Bahru, Melaka dan Berjaya Times Square di Kuala Lumpur menjelang akhir tahun ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Safwan Muhammad Saleh berkata, sejak diasaskan pada 2016, 80 peratus pemasaran Petak tertumpu pada segmen dalam talian.

Katanya, Petak yang terkenal dalam kalangan pengemar pakaian edisi terhad yakin dengan membuka butik fizikal, capaian pelanggan lebih luas terhadap produk keluarannya.

"Petak mempunyai komuniti pelanggan tersendiri dan kebanyakan produk yang kami keluarkan adalah edisi terhad serta kolaborasi dengan jenama tempatan lain.

"Selain kemeja-T, Petak turut mengeluarkan beg, topi dan terbaharu cermin mata hitam antisinaran UV jenama Umar," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau mengakui jualan syarikat terjejas kira-kira 30 peratus.

"Namun, dengan konsep produk edisi terhad, pelanggan masih mencari barangan keluaran Petak.

"Selain itu, kami juga menyasarkan setiap negeri akan mempunyai stokis dan 100 ejen menjelang 2021," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuka peluang menjana pendapatan dengan menjadi stokis dan ejen Petak yang penyertaan hanya akan dibuka setahun sekali.

"Modal untuk menjadi ejen adalah sebanyak RM300 termasuk yuran tahunan dan produk manakala stokis pula hanya RM700 (set lengkap pek permulaan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 7:15 AM