X
BALAI Berita 1 Bangsar (BB1). FOTO Arkib NSTP
BALAI Berita 1 Bangsar (BB1). FOTO Arkib NSTP
Bisnes HM

MEDIA Prima Berhad (Media Prima) menjelaskan bahawa sebarang langkah berkaitan operasi dan pengosongan bangunan perlu melalui perbincangan dan persetujuan bersama antara Media Prima dan PNB Development Sdn Bhd (PNBD).

Ini kerana pada 2018, kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian jual dan sewa semula membabitkan bangunan Balai Berita 1 Bangsar (BB1).

Media Prima dalam kenyataan berkata, ketika ini pihaknya beroperasi di empat lokasi iaitu Sri Pentas Petaling Jaya (Sri Pentas), Balai Berita 2 Shah Alam (BB2), Glenmarie Studios Shah Alam (Glenmarie Studios) dan BB1.

"Jumlah keseluruhan ruang untuk keempat-empat lokasi ini melebihi 1 juta kaki persegi, yang mana ia melebihi keluasan ruang yang diperlukan," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap artikel disiarkan theedgemarkets.com berjudul 'Media Prima to end leaseback deal with PNB, vacate Bangsar Property — sources' yang disiarkan pada 14 Julai.

Katanya, berdasarkan aliran kerja semasa yang dipertingkatkan, ia menyaksikan Media Prima tidak memerlukan kapasiti ruang sedia ada.

"Maka, kami membuat perancangan untuk menyatukan operasi ke tiga lokasi utama iaitu Sri Pentas Petaling Jaya (Sri Pentas), Balai Berita 2 Shah Alam (BB2) dan Glenmarie Studios Shah Alam (Glenmarie Studios)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 9:30 PM