ABDUL Latif
ABDUL Latif

PERBADANAN Produktiviti Malaysia (MPC) menyasarkan program MalaysiaMudah atau #MyMudah akan membolehkan perniagaan melakukan penjimatan RM10 bilion susulan pengurangan bebanan serta kos pematuhan peraturan tidak perlu.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, ini berdasarkan sasaran pengurangan 25 peratus daripada kos pematuhan peraturan yang dianggarkan RM40 bilion untuk perniagaan yang dikenal pasti di bawah program #MyMudah.

"Program itu disifatkan sebagai penyelesaian pantas bagi menangani impak ekonomi tidak dijangkakan akibat krisis Covid-19," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, program #MyMudah itu juga strategi tersusun dan berkesan selain meningkatkan kualiti pengawalseliaan sebagai respons terhadap cabaran aspek itu yang dihadapi perniagaan serta pemegang kepentingan lain susulan krisis itu.

"Ini termasuk tindakan secara kekal atau sementara bagi memansuhkan, menambah baik, mengecualikan peraturan tidak wajar dan membebankan perniagaan selain mengurangkan jumlah prosedur dan masa pemprosesan bagi memudahkan usaha menjalankan perniagaan," katanya.

Menurutnya, program #MyMudah yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 21 Julai lalu sebahagian daripada usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi akibat pandemik.

Keputusan pelaksanaan program itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, kaji selidik MPC mendedahkan jumlah perniagaan terjejas secara ketara akibat krisis Covid-19 berkurangan 55 peratus pada Jun lalu berbanding 74 peratus pada April lalu susulan langkah bantuan serta kelonggaran diperkenalkan kerajaan.

Malah, Abdul Latif berkata, terdapat pengurangan dari segi keseriusan impak perniagaan mengikut kawasan berbeza.

Sebanyak 78 peratus perniagaan melaporkan penyusutan hasil pada Jun lalu berbanding 82 peratus pada April lalu.

"Selain itu, hanya 20 peratus perniagaan melaporkan operasi perniagaan mereka terjejas pada Jun lalu berbanding 70 peratus pada April lalu dan 21 peratus mengalami kekurangan permintaan tempatan pada Jun lalu berbanding 60 peratus pada April lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 7:20 AM